LONDON: Chelsea dijangka akan melepaskan Joao Felix kepada kelab Arab Saudi, Al-Nassr, dalam satu pakej perpindahan berjumlah 50 juta euro (RM247 juta) untuk pemain Portugal berusia 25 tahun itu.
Difahamkan, jumlah itu merangkumi bayaran pendahuluan sebanyak 30 juta euro (RM148 juta) dan tambahan 20 juta euro (RM99 juta) bergantung kepada pencapaian, yang akan menyaksikan Felix menyertai Cristiano Ronaldo jika tiada halangan pada saat akhir.
Kelab lamanya, Benfica, turut berminat untuk mendapatkan semula Felix, yang membantu Chelsea meletakkan harga tinggi ke atas pemain yangbaru ditandatangani pada musim panas lalu.
Perpindahan ini dijangka mempercepatkan usaha Chelsea untuk mendapatkan Xavi Simons, pemain berusia 22 tahun dari RB Leipzig yang berminat berpindah ke Stamford Bridge.
Simons bakal mengikuti jejak Joao Pedro, Liam Delap dan beberapa lagi pemain yang menyertai kelab itu dalam jendela perpindahan kali ini.
Felix menyertai Chelsea dengan yuran perpindahan 44.5 juta pound (RM251.4 juta) pada Ogos 2024, tetapi menghabiskan separuh kedua musim lalu secara pinjaman bersama AC Milan.
Kelab Serie A itu menanggung sepenuhnya gajinya serta membayar yuran pinjaman sebanyak 4.8 juta pound (RM27.1 juta). Namun, tiada pilihan pembelian secara tetap dimasukkan dalam perjanjian, walaupun Felix pernah menyuarakan hasrat untuk terus kekal di San Siro.
Felix tidak tersenarai dalam skuad 28 pemain Chelsea bagi Piala Dunia Kelab selepas gagal menyesuaikan diri dengan corak permainan di bawah kendalian pengurus Enzo Maresca.
Sepanjang musim 2024–25, dia hanya bermain selama 364 minit dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Kontrak Felix bersama Chelsea berakhir pada tahun 2030, dengan pilihan lanjutan setahun.
Sepanjang musim lalu, Felix hanya membuat tiga penampilan dalam kesebelasan utama di Liga Perdana Inggeris, tiga di Liga Konferens Eropah, sekali di Piala FA, dan dua kali kettika Piala Liga. Dia turut tampil 11 kali sebagai pemain gantian sebelum dipinjamkan keluar.
Al-Nassr sebelum ini melanjutkan kontrak Ronaldo dan melantik pengendali veteran Portugal, Jorge Jesus dalam usaha memperkukuh cabaran kejuaraan mereka. – AGENSI

