BEIJING: Presiden China, Xi Jinping menyatakan hubungan China dan Kesatuan Eropah (EU) kini menempuh satu lagi detik penting dalam sejarah, ketika pihak meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik mereka.
Menurut Xi, hubungan dua hala itu yang dahulunya hanya membabitkan dagangan kecil kini mencatat nilai dagangan harian menyamai jumlah setahun pada ketika hubungan itu mula terjalin.
“Cabaran yang sedang dihadapi EU ketika ini bukan berpunca daripada China,” katanya dalam pertemuan dengan Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen di Dewan Besar Rakyat, di sini.
Xi menegaskan tiada percanggahan kepentingan asas atau pertikaian geopolitik antara China dan EU.
Katanya lagi, kerjasama kekal sebagai teras hubungan dua hala itu mengatasi persaingan atau perbezaan pendapat.
Khamis lalu, Jinping mengemukakan tiga cadangan utama bagi memperkukuh hubungan antara China dan EU dengan menekankan kepentingan kestabilan dan kerjasama antara kedua-dua kuasa ekonomi global itu.
Berucap dalam pertemuan dengan kedua pemimpin, Jinping berkata kedua-dua pihak perlu mengekalkan saling menghormati dan memperkukuh hubungan sebagai rakan kongsi.
“China dan EU juga perlu mengamalkan keterbukaan dan kerjasama sambil mengurus perbezaan serta geseran secara berhemah, selain mengamalkan multilateralisme serta mempertahankan peraturan dan tata tertib antarabangsa,” katanya.
Xi turut menyatakan hubungan ekonomi dan perdagangan China-EU secara asasnya bersifat saling melengkapi dan memberi manfaat bersama serta mampu mencapai keseimbangan dinamik melalui pembangunan berterusan.
Beliau berkata, pembangunan berkualiti tinggi dan dasar keterbukaan China akan membuka lebih banyak peluang kerjasama baharu dengan EU termasuk dalam bidang hijau dan digital.
“China mengalu-alukan usaha memperkukuh pelaburan bersama dan memperdalam kerjasama dalam sektor-sektor utama,” katanya.
Menurut pihak berkuasa kastam China, jumlah dagangan antara China dan EU pada 2024 melonjak kepada AS$785.8 bilion (RM3.32 trilion), meningkat lebih 300 kali ganda berbanding ketika hubungan diplomatik dimulakan pada 1975.
Aliran pelaburan dua hala antara China dan EU terus menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus mencerminkan trend positif dalam hubungan ekonomi kedua-dua pihak.
Antara contoh ketara ialah syarikat pengeluar bateri China, CALB, yang sedang membina kilang bernilai AS$2.2 bilion (RM9.29 bilion) di Sines, Portugal yang dijangka mewujudkan 1,800 peluang pekerjaan.
Sehubungan itu, Xi menyuarakan harapan EU terus mengamalkan keterbukaan dalam pasaran perdagangan dan pelaburan, tidak menggunakan alat sekatan ekonomi secara sewenang-wenangnya serta menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif kepada syarikat China yang melabur dan beroperasi di blok itu.
Pada Sidang Kemuncak China-EU ke-25 yang berlangsung pada Khamis, kedua-dua pihak bersetuju mempertingkat mekanisme dialog kawalan eksport antara China dan EU.
Mereka juga sepakat memperkukuh komunikasi mengenai isu yang menjadi kebimbangan bersama serta memastikan rantaian industri dan bekalan antara kedua-dua kuasa ekonomi itu kekal stabil dan lancar.
Xi turut menegaskan China sentiasa melihat hubungan China-EU daripada perspektif strategik dan jangka panjang serta mengiktiraf EU sebagai satu kutub penting dalam dunia pelbagai kuasa (multipolar world).
“China sentiasa menyokong integrasi Eropah dan autonomi strategik EU,” katanya.
i ping turut menegaskan hubungan antara China dan EU tidak tertakluk kepada disasarkan oleh atau dikawal mana-mana pihak ketiga, sebaliknya terbina atas asas persefahaman, kepercayaan dan komunikasi strategik.
Beliau menggesa kedua-dua pihak supaya terus memperdalamkan komunikasi strategik, memperkukuh persefahaman serta membina persepsi yang betul antara satu sama lain.
Dalam pada itu, bekas Pesuruhjaya Perdagangan Eropah, Pascal Lamy dalam temu bual bersama CGTN, berkata meskipun wujud perbezaan, China dan EU berkongsi pendirian penting dalam mempertahankan multilateralisme.
Wujud juga kerjasama menangani cabaran global seperti perubahan iklim, kehilangan biodiversiti dan perlindungan lautan.
Antara pencapaian Sidang Kemuncak China-EU pada Khamis lalu ialah penerbitan kenyataan bersama mengenai perubahan iklim, yang menekankan komitmen kedua-dua pihak untuk menangani isu perubahan iklim dan memperkukuh pembangunan hijau.
Xi turut mengulangi gesaan agar China dan EU memainkan peranan sebagai kuasa konstruktif dalam mendukung multilateralisme, keterbukaan dan kerjasama sejagat, demi menyumbang kepada kestabilan dan ketentuan yang lebih besar dalam dunia ketika ini.

