WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dikatakan layak menerima Hadiah Keamanan Nobel atas peranannya dalam menjayakan gencatan senjata Thailand-Kemboja, yang dimeterai di Putrajaya semalam.
Kenyataan itu dibuat oleh Setiausaha akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt, di platform X.
“Presiden Trump yang menjayakan ini (gencatan senjata Thailand-Kemboja). Berikan beliau Hadiah Keamanan Nobel!” kata Leavitt dalam hantarannya.
Leavitt turut menyertakan tangkap layar artikel New York Times yang menyatakan bahawa rundingan tersebut merupakan ‘perbincangan yang disokong oleh AS’.
Kemboja dan Thailand bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata bermula tengah malam tadi selepas pertempuran maut di sepanjang sempadan negara memasuki hari kelima dan meragut sekurang-kurangnya 35 nyawa.
Gencatan senjata itu dicapai melalui satu mesyuarat di Seri Perdana (Putrajaya) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku pengerusi ASEAN tahun ini.
Ia merupakan pertemuan pertama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, sejak ketegangan tercetus pada 24 Julai lalu.
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin memaklumkan bahawa mesyuarat itu dianjurkan bersama oleh AS dengan ‘penyertaan aktif’ China.
Sebelum gencatan senjata, Trump dilaporkan berkata, beliau percaya bahawa Thailand dan Kemboja akan menyelesaikan pertikaian itu selepas beliau memberi amaran kepada pemimpin kedua-dua negara bahawa beliau tidak akan memeterai sebarang perjanjian perdagangan selagi konflik tidak dihentikan.
Selain gencatan senjata, Thailand dan Kemboja turut bersetuju untuk menyambung semula talian komunikasi langsung antara perdana menteri, menteri luar dan menteri pertahanan masing-masing.
Dalam pada itu, menteri luar dan pertahanan dari Malaysia, Kemboja dan Thailand telah diarahkan untuk membangunkan mekanisme terperinci bagi pelaksanaan, pengesahan dan laporan pelaksanaan gencatan senjata itu.
Dalam satu hantaran di Facebook, Hun Manet menyifatkan gencatan senjata itu sebagai ‘hasil yang cemerlang’ dan mengucapkan terima kasih kepada Anwar atas usaha beliau menjadi pengantara rundingan damai di Putrajaya.
“Saya percaya perjanjian gencatan senjata antara tentera Kemboja dan Thailand ini adalah asas utama dalam membina kepercayaan bersama dan memperbaiki keadaan ke arah pemulihan normal dalam masa depan,” kata Manet sekembalinya ke Kemboja.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Trump dan kerajaan China atas sokongan mereka dalam mencapai perjanjian gencatan senjata itu.
Thailand dan Kemboja mempunyai sejarah panjang ketegangan diplomatik berhubung kawasan sempadan sepanjang 817 kilometer yang dikongsi bersama.
Lebih 35 orang telah terkorban dan 270,000 penduduk dipindahkan di kedua-dua negara sejak gelombang konflik terbaru tercetus pada 24 Julai.
Ketegangan antara dua negara ASEAN itu telah mula meningkat sejak 28 Mei lalu apabila seorang anggota tentera Kemboja terbunuh dalam satu pertempuran berhampiran kawasan sempadan yang dipertikaikan di Preah Vihear, kira-kira 360 kilometer dari Bangkok. – AFP

