Liga M terus pikat penaja

KUALA LUMPUR: Meskipun dilanda pelbagai isu dan dilabel sebagai tidak kompetitif, namun saingan Liga Malaysia (Liga M) tetap memiliki daya tarikan tersendiri yang berjaya memikat hati badan korporat.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd menyifatkan badan korporat masih lagi melihat bola sepak khususnya Liga M sebagai platform pemasaran terbaik buat syarikat mereka.

Mohd Shazli memaklumkan, jumlah tajaan yang diterima bagi saingan musim ini adalah hampir sama dengan musim lalu yang mana terdapat penaja sekarang masih terikat dengan kontrak sekurang-kurangnya setahun lagi.

Malah, beliau berkata, bakal ada beberapa lagi penaja akan diumumkan pihaknya dengan satu daripadanya membabitkan jenama besar dalam negara ini.

“Selepas 10 tahun (kewujudan MFL), kita sudah mula nampak satu kalendar bola sepak yang lebih mesra dan kompetitif. Kita dapat mulakan segalanya mengikut acuan yang diberikan oleh AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), sambil kita tambah baik mengikut permintaan domestik.

“Mungkin peminat bola sepak sukar menerima apabila kita kehilangan pasukan seperti Sri Pahang, Kedah, Perak, Perlis, Kelantan dan Sarawak. Namun banyak perkara yang sudah dilaksanakan sehingga 10 tahun kewujudan MFL.

“Tujuan utama adalah memastikan perjalanan liga berjalan dengan baik dan mendapat sokongan lebih baik daripada agensi ketiga. Akan ada dua atau tiga lagi penajaan yang kita akan umumkan nanti, salah satunya adalah jenama besar di Malaysia,” katanya.

Isu kewangan yang membawa kepada kemelut tunggakan gaji dilihat menjadi antara masalah terbesar yang sukar untuk dimatikan dalam Liga M apabila perkara sama melanda beberapa pasukan setiap musim.

Masalah itu juga menjadi punca beberapa pasukan besar terpaksa disingkirkan daripada Liga Super dan ada kelab yang terkubur kerana tidak mampu menyelesaikan masalah kewangan.