‘Kerajaan perlu kutuk tindakan biadap menteri Israel ceroboh Masjid Al-Aqsa, menyanyi, menari dalam kawasan suci itu’ – Dr Maszlee Malik

KUALA LUMPUR: Biro Hal Ehwal Antarabangsa PKR menggesa kerajaan mengutuk secara terbuka dan tegas terhadap tindakan biadab Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir yang menceroboh masuk ke Masjid Al-Aqsa dan melakukan ritual Talmudik serta nyanyian dan tarian dalam kawasan suci itu, pada Ahad lalu.

Pengarah biro itu, Dr Maszlee Malik, berkata rejim Zionis Israel juga perlu didesak untuk menghormati tapak suci agama Islam dan mematuhi obligasi mereka di bawah undang-undang antarabangsa.

Katanya, kerajaan dan negara ASEAN bersama-sama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu mendesak pelaksanaan sekatan bersasar seperti pembekuan aset dan larangan perjalanan terhadap pegawai rejim Israel dan kumpulan pendatang haram yang terbabit dalam pelanggaran ini, selain menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin.

“Kerajaan juga perlu menggunakan pengaruh diplomatiknya untuk menyokong siasatan antarabangsa ke atas jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan dasar genosid yang sedang berlaku di Gaza dan wilayah Palestin yang diduduki.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokatif Ben-Gvir menceroboh masuk Masjid Al-Aqsa dan membuat ritual Talmudik serta nyanyian dan tarian dalam kawasan suci itu, pada Ahad lalu.

“Insiden ini kali pertama seorang menteri kanan Israel secara terbuka mengetuai pencerobohan seumpama itu, sekali gus mencetuskan kecaman meluas pada peringkat antarabangsa.

“Tindakan ini satu bentuk hasutan politik dan keagamaan yang tidak dapat diterima dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa serta norma kemanusiaan yang bertujuan mengubah status sejarah dan perundangan tapak suci umat Islam,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, di sini, hari ini.

Menurut laporan Anadolu Ajansi, Ben-Gvir mengetuai sekumpulan besar pendatang Yahudi menceroboh kompleks masjid itu sempena sambutan perayaan Yahudi Tisha B’Av.

Maszlee berkata, menurut Konvensyen Geneva Keempat, kuasa pendudukan diwajibkan untuk melindungi warisan kebudayaan dan keagamaan wilayah yang didudukinya.

“Baitulmaqdis Timur termasuk Masjid Al-Aqsa, diiktiraf masyarakat antarabangsa sebagai wilayah yang diduduki secara haram, justeru tindakan pencerobohan Ben-Gvir yang dilindungi pihak polis rejim adalah pelanggaran nyata terhadap tanggungjawab itu, malah boleh diklasifikasikan sebagai jenayah perang atau jenayah terhadap kemanusiaan.

“Ini memandangkan ia sebahagian daripada dasar sistematik yang menafikan hak keagamaan dan budaya rakyat Palestin,” katanya.

Beliau berkata, OIC turut mengutuk tindakan itu sebagai usaha berterusan rejim Zionis untuk menulis semula sejarah dan menguasai secara de facto kawasan suci berkenaan.

“Pada masa sama, kekejaman tentera Israel di Gaza terus mengorbankan lebih 60,000 rakyat Palestin, termasuk dalam insiden tembakan rambang dan kematian akibat kebuluran.

“Pada hari sama Ben-Gvir menceroboh Al-Aqsa, sekurang-kurangnya 33 nyawa terkorban ketika beratur untuk mendapatkan bantuan makanan, manakala enam lagi termasuk kanak-kanak mati akibat kebuluran.

“Di Tebing Barat, peningkatan drastik dalam keganasan oleh peneroka haram, pengusiran dan penangkapan rakyat Palestin turut dikecam Kementerian Luar Negeri Palestin sebagai sebahagian daripada dasar kolonial dan perkauman yang bertujuan menghapuskan kehadiran rakyat Palestin di Al-Quds dan wilayah bersejarah Palestin,” katanya.