Kes kematian Zara Qairina: Proses bedah siasat jenazah bermula jam 9 pagi

OTA KINABALU: Proses bedah siasat jenazah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Papar, Zara Qairina Mahathir di sini, bermula kira-kira jam 9 pagi tadi.

Peguam keluarga Allahyarham, Hamid Ismail berkata proses itu yang diadakan Hospital Queen Elizabeth (HQE) diketuai oleh pakar patologi Dr Jessie Hiu.

Terdahulu, jenazah pelajar berusia 13 tahun itu tiba di hospital berkenaan pada jam 10.30 malam tadi selepas selesai digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi di Sipitang, kira-kira tiga jam sebelum itu.

Jenazah itu kemudian dibawa ke Jabatan Radiologi untuk imbasan CT sebelum disimpan di Jabatan Perubatan Forensik.

Kira-kira 100 ahli keluarga, kenalan dan penduduk setempat hadir menyaksikan proses penggalian semula kubur jenazah Allahyarham Zara Qairina yang menunggu sejak tengah hari.

Proses itu dikawal sepasukan anggota polis bagi memastikan ia berjalan lancar sambil dipantau pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Jenazah Allahyarham Zara dikebumikan pada 17 Julai lalu selepas disahkan meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama SMKA Tun Datu Mustapha sehari sebelum itu.

Penggalian semula kubur dilakukan selepas mendapat perintah Majistret Zuraini Ali Musa melalui prosiding secara aplikasi Zoom yang didengar di Ibu Pejabat Polis Daerah Papar tengah hari semalam.

Sebelum ini, keluarga arwah meminta kubur Zara digali semula bagi membolehkan proses bedah siasat dilakukan agar dapat melengkapkan siasatan berhubung punca kematian pelajar terbabit.