Gali semula kubur untuk bedah siasat, ini penjelasan Jakim

KUALA LUMPUR – Hukum menggali semula kubur diharuskan sekiranya pihak berkuasa perlu membuat post-mortem (bedah siasat) bagi tujuan pengesahan sesuatu kes.

Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan, ia memandangkan sebab itu termasuk dalam keadaan darurat atau perkara yang tidak boleh dibuat melainkan dengan cara tersebut.

Bagaimanapun, katanya, tindakan menggali kubur itu mesti mendapat kebenaran pihak berautoriti terlebih dahulu dan berpegang kepada kaedah ‘darurat mengharuskan perkara yang haram’.

“(Berdasarkan) Fatwa di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (2004) juga putuskan harus gali semula kubur kalau ada keperluan mendesak/darurat yang diharuskan syarak.

“Harus guna semula tanah kubur untuk mayat baru kalau mayat lama sudah reput dan disahkan pihak berkuasa,” katanya menerusi laman sosial Facebook Bahagian Dakwah, Jakim hari ini.

Terdahulu, hukum menggali kubur dalam Islam kembali menjadi perdebatan di media sosial dengan ada yang membuat kesimpulan ia tidak boleh dibuat walau untuk apa tujuan sekali pun.

Perdebatan itu susulan keputusan yang dibuat Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengarahkan kubur Zara Qairina Mahathir yang dikaitkan sebagai mangsa buli digali semula supaya proses bedah siasat dapat dilakukan.

Menjelaskan lebih lanjut, Bahagian Dakwah Jakim itu berkata, secara asas, menggali kubur adalah haram kerana dianggap mencemarkan kehormatan si mati.

Ia katanya, berdasarkan sabda Rasulullah SAW seperti riwayat Abu Daud yang bermaksud: “Mematahkan tulang orang yang telah mati adalah seperti mematahkan tulangnya ketika masih hidup.”

Namun, tambahnya, menggali kubur dibenarkan bagi tujuan syarie atau darurat mengikut kaedah fikah iaitu keadaan darurat membolehkan perkara yang haram.

“Contoh darurat yang dibenarkan adalah mayat belum dimandikan; mayat tak dihadapkan ke kiblat; ada harta jatuh dalam liang lahad; selamatkan bayi dalam kandungan yang masih hidup; dikebumikan di tanah curi atau kubur dikhuatiri akan dibongkar pihak lain,” katanya.

Semalam, proses penggalian kubur Zara Qairina di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang, Sabah bermula pulul 5.30 petang sebelum selesai kira-kira dua jam kemudian.

Pelaksanaan kerja penggalian dilakukan oleh Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan turut disaksikan beberapa pihak lain termasuk pasukan peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat, 45, ibu kepada Zara Qairina.

Selepas prosedur bedah siasat selesai, jenazah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Papar berkenaan selamat dikebumikan semula di tanah perkuburan sama, pukul 1.15 pagi tadi. – MalaysiaGazette