KUALA LUMPUR – Seorang pakar pendidikan mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang merancang mengadakan himpunan aman di hadapan sekolah yang dikaitkan dengan kejadian melibatkan Zara Qairina Mahathir.
Dr. Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim berkata, tindakan itu tidak mempunyai motif yang jelas dan bertentangan dengan matlamat untuk mendapatkan keadilan buat Zara Qairina menerusi saluran yang betul.
Malah, beliau yang juga Felo Penyelidik Pendidik Madani menambah, tindakan itu juga hanya mencetuskan satu lagi perbuatan buli kepada pihak lain khususnya warga sekolah berkenaan.
Ini kerana, ujarnya, terdapat pelajar-pelajar di sekolah berkenaan yang sedang bertarung dan mempersiapkan diri untuk menduduk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.
Dalam masa sama, menurut beliau, di sekolah itu juga, terdapat guru-guru yang siang dan malam memikirkan berkenaan masa depan anak-anak murid mereka.
Selain itu, katanya, golongan ibu bapa juga sudah pastinya bimbang dan trauma dengan kehadiran sekumpulan orang dewasa yang mungkin menjerit dan melaungkan ayat-ayat tertentu di luar pagar sekolah di mana anak-anak mereka berada.
“Adakah hanya kita yang layak menuntut keadilan untuk Zara Qairina? Sampai sanggup menghina, memperlekeh, dan membongokkan Ketua Perkhidmatan (KPM) yang cuba meredakan keadaan?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) merayu orang ramai supaya tidak melakukan perhimpunan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, di peringkat pengurusan tertinggi KPM, pihaknya sememangnya mahu keadilan untuk Allahyarham Zara Qairina.
Bagaimanapun, pada masa sama, ujar Mohd Azam, KPM juga merayu semua pihak memberikan keadilan yang sama kepada pelajar dan guru di sekolah terbabit dengan menjaga emosi serta psikologi mereka.
Terdahulu, wujud gerakan di media sosial untuk mengadakan himpunan di sekolah berkenaan sebagai antara langkah berterusan mendesak keadilan buat Zara Qairina
Sementara itu, Radin Muhd Imaduddin mengingatkan sekiranya orang ramai hilang kepercayaan kepada undang-undang dan membiarkan kemarahan di jalanan menentukan hukuman, maka kita sedang membina negara yang lebih ganas daripada punca masalah itu sendiri.
Sedangkan, ujar beliau, keadilan bukan bermaksud menghukum semua orang atas dosa segelintir pihak dan bukan juga menutup sekolah dan melabel guru sebagai `syaitan’.
“Itu bukan perjuangan, itu dendam. Ingatlah, marah yang tidak dibimbing iman hanya akan melahirkan zalim yang baru,” katanya. – MalaysiaGazette

