KUALA LUMPUR: KL City FC tidak seharusnya kehilangan dua mata di laman sendiri selepas terikat 1-1 dengan Sabah FC pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi.
Lebih malang, jaringan penyamaan itu dihasilkan pada minit akhir oleh Sabah FC yang bermain dengan 10 pemain untuk keseluruhan babak kedua selepas Dean Pelekanos dilayangkan kad merah di hujung babak pertama.
Pengendali KL City FC, Risto Vidakovic mengakui mereka sepatutnya membawa pulang tiga mata pada aksi terbabit namun di penghujungnya, mereka terpaksa berpuas hati berkongsi mata selepas membuka kempen musim ini dengan kemenangan meyakinkan.
“Ia satu perasaan yang paling teruk apabila anda dibolosi terutamanya selepas menguasai sebahagian besar separuh masa kedua. Kita ada banyak peluang untuk memuktamadkan perlawanan tetapi inilah bola sepak.
“Kadangkala anda perlu terima (keputusan) dan terus memandang ke depan. Saya rasa pasukan beraksi dengan baik, jadi kita tidak layak untuk sekadar mendapat keputusan seri.PauseNextMute
“Ini adalah peluang terbaik untuk kita mendapatkan tiga lagi mata sekali gus menambah keyakinan sebagai satu pasukan yang dibentuk dari kosong. Jadi saya rasa penting untuk kita menang tetapi itu yang berlaku (seri),” kata Vidakovic.
Pada aksi terbabit, jaringan tonggak pertahanan Sabah, Gabriel Peres pada masa kecederaan memusnahkan harapan skuad Warga Kota untuk melakar rekod kemenangan bersih dalam dua aksi awal Liga Super musim ini.
KL City FC terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-65 selepas bola sepakan Declan Lambert tertampan kaki pertahanan skuad Badak, Dane Ingham sebelum menerjah jaring.
Selepas dua perlawanan, KL City FC menghimpun empat mata untuk menghuni tangga ketiga Liga Super setakat ini.

