Warga Korea Selatan mangsa kes penipuan dalam talian ditemui maut

PHNOM PENH: Mayat seorang lelaki Korea Selatan ditemui dalam tong sampah besar berdekatan kompleks menempatkan sindiket penipuan dalam talian di Kemboja.

Ketika ditemui, mayat didapati penuh kesan lebam, wajah bengkak dan kesan dera serta dibalut dengan selimut dan beg plastik, yang menunjukkan kemungkinan dia dipukul hingga mati.

Polis Kemboja berkata mayat itu ditemui pada 14 Ogos di wilayah Kampot bersama mayat seorang lagi mangsa.

Kementerian Luar Korea Selatan mengesahkan seorang daripada mangsa yang terbunuh ialah warganya yang dikenali dengan nama keluarga Park.

Kementerian itu memaklumkan pihaknya meminta siasatan penuh diadakan segera oleh pihak berkuasa Kemboja dan menyediakan bantuan konsular kepada keluarga Park, namun pegawai ,emgakui ‘sukar untuk mengesahkan butiran lanjut’.

Apa yang berlaku kepada Park dipercayai berkait dengan kegiatan jenayah siber dalam kompleks penipuan dalam talian di wilayah sempadan Kemboja-Thailand.

Lokasi mayatnya ditemui adalah antara puluhan operasi berskala besar di Kemboja yang dilaporkan dikendalikan kumpulan jenayah terancang dari China.

Kompleks yang biasanya berpagar dan dikawal ketat itu terkenal dengan kegiatan penipuan panggilan dalam talian dan pelaburan palsu.

Park dipercayai ditahan dalam kompleks berkenaan sebelum dibunuh oleh sindiket berkenaan.

Keadaan mayatnya memberi gambaran ngeri. Penyiasat tempatan melaporkan terdapat kesan lebam dan pendarahan yang banyak, dengan kesan bengkak menunjukkan mendiang mengalami penderaan secara berterusan.

Kekejaman itu selari dengan laporan mangsa yang terselamat daripada kompleks penipuan itu.

Seorang lelaki Korea Selatan berusia 28 tahun yang baru melarikan diri memberitahu media Korea Selatan bahawa ahli kumpulan penjenayah China sanggup membunuh sesiapa sahaja jika ia membabitkan wang.

Dia menggambarkan penderaan fizikal, renjatan elektrik dan teknik penderaan ‘waterboarding’ dilakukan secara rutin.

Amnesty International menganggarkan lebih 50 kompleks penipuan dalam talian beroperasi di seluruh Kemboja.

Kumpulan hak asasi dan media tempatan menyifatkannya sebagai kawasan yang hampir tidak dapat dicapai pihak berkuasa, berfungsi seperti kawasan jenayah berautonomi sendiri.

Laporan tempatan mengesyaki sejumlah warga Korea Selatan mungkin terperangkap dalam kompleks berkenaan selepas diperdaya iklan tawaran pekerjaan bergaji tinggi di luar negara, tetapi akhirnya diperdagangkan sebagai buruh paksa sebaik tiba di sana.

Data yang diperoleh pejabat Kementerian Luar menunjukkan jumlah rakyat Korea Selatan dilaporkan diculik atau ditahan di Kemboja meningkat daripada 21 kes pada 2023 kepada 221 kes pada 2024.

Bagi separuh pertama 2025 sahaja, pihak berkuasa menganggarkan 212 kes, menunjukkan jumlah keseluruhan bagi tahun ini berpotensi mencecah dua kali ganda berbanding tahun lalu. – AGENSI