Bual bicara bersama Ustaz Azhar Idrus ceriakan program RXZ Members 7.0

KUALA LUMPUR: Hujan tidak menghalang ribuan peserta RXZ Members 7.0 berkumpul di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, di sini, bagi mengikuti pelbagai program sampingan yang diadakan bermula petang ini.

Antara program yang mendapat sambutan peserta dan pengunjung adalah Program Bual Bicara RXZ Members bersama Ustaz Azhar Idrus (UAI).

Tinjauan di lokasi mendapati ribuan jentera RXZ memenuhi kawasan litar dengan sebilangan besar daripada mereka adalah peserta dari luar negeri ini termasuk Sabah dan Sarawak.

Pada malam ini, peserta dan pengunjung akan disajikan dengan hiburan pentas yang menampilkan beberapa artis terkenal antaranya Zamani Slam, Yantzen, Datuk Rosyam Nor, Azmani dan Pablo Amirul.

Turut diadakan Jamuan Rakyat RXZ Members dengan menu utama 100 ekor kambing bakar yang akan bermula jam 8.30 malam nanti.

Tinjauan aliran trafik terkawal dan lancar hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain pematuhan daripada peserta.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin bersama beberapa pegawai turut membuat lawatan dan beramah mesra dengan peserta.

Dalam lawatan itu, beliau turut menitipkan pesanan dan nasihat kepada peserta agar sentiasa menjaga keselamatn sepanjang program.