KENYATAAN tegas Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali bahawa ‘kami tak akan ke Afrika’ bukan sekadar mewakili warga Gaza atau negaranya semata-mata, bahkan gema suara seluruh umat yang masih punya naluri kemanusiaan.
Rancangan Israel untuk memindahkan penduduk Gaza ke Sudan Selatan hanya memberikan satu isyarat jelas; jika dunia membiarkan ia berlaku, kita sebenarnya memberikan ‘lesen untuk genosid dan penghapusan etnik’ kepada negara haram itu serta mana-mana rejim pada masa depan.
Ini membawa satu natijah, iaitu keruntuhan peradaban manusia berasaskan kedaulatan undang-undang, manakala dunia menjadi belantara yang menyaksikan golongan zalim dan kejam bermaharajalela tanpa batas.
Hakikatnya, rancangan itu buat sekian kali menunjukkan nawaitu Zionis Israel untuk menghapuskan Palestin dari peta dunia dan melebarkan wilayah kekuasaannya sedikit demi sedikit, termasuk ke negara jiran di rantau Arab. Sejarah mengajar setiap usaha pengusiran paksa dari Nakbah pada 1948 hingga hari ini hanya episod panjang penghapusan etnik.
Seperti ditegaskan Walid, tiada istilah ‘rumah kedua’ untuk rakyat Palestin yang sebenarnya menjadi pegangan mana-mana manusia yang menyintai tanah tumpah darah dan warisan nenek moyang mereka.

Lebih keji, rancangan pengusiran ini berjalan seiring taktik Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata perang. Laporan Save the Children menggambarkan betapa kanak-kanak Gaza terlalu lemah untuk menangis, manakala tubuh mereka hanya menunggu maut akibat kekurangan zat makanan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri sudah mengisytiharkan kebuluran di Gaza yang menjejaskan ratusan ribu jiwa selepas serangan genosid Israel mengorbankan lebih 63,000 nyawa, termasuk 18,000 kanak-kanak, manakala 165,000 cedera dan 15,000 hilang di bawah runtuhan.
Dunia tidak lagi boleh mencari alasan kecuali seperti turut ditegaskan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, bertindak menggantungkan Israel daripada keanggotaan PBB. Sebuah entiti yang secara sistematik melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa tidak layak duduk sama rata dengan negara berdaulat yang berusaha menegakkan kestabilan dan keamanan.
Lebih penting, negara bersekongkol terhadap kezaliman Israel turut bersubahat dalam jenayah ini, sama ada melalui senjata, perlindungan diplomatik atau propaganda yang menjustifikasi pembantaian.
Solidariti global terhadap Gaza dan Palestin sama ada untuk warganya, petugas kesihatan, wanita, kanak-kanak dan golongan rentan serta pengamal media yang terkorban yang kini diadakan di kota utama dunia perlu menjadi isyarat jelas kepada pertubuhan dunia dan serantau daripada PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hingga Liga Arab untuk menterjemahkannya dalam tindakan konkrit.
Pertama, sekatan ekonomi terhadap Israel; kedua, penggantungan hubungan diplomatik; ketiga, sokongan penuh bukan retorik kepada usaha pengiktirafan Palestin sebagai negara berdaulat; keempat, mendesak kuasa besar menamatkan persekongkolan mereka dan kelima, mengheret penjenayah perang bermula Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan pemimpin kanan, termasuk jeneral perangnya ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

