Segamat sekali lagi dilanda gempa bumi lemah

SEGAMAT – Gempa bumi lemah dengan gegaran bermagnitud 2.5 berlaku di daerah ini pada pukul 7.56 malam tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi Facebook memaklumkan, gegaran tersebut berlaku pada jarak 13 kilometer (KM) utara dari Segamat dengan kedalaman 10 kilometer.

“Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memantau keadaan ini,” menurut kenyataan ringkas agensi tersebut sebentar tadi.

Semalam, MetMalaysia mengesahkan gempa bumi lemah berukuran 3.2 magnitud berlaku di Segamat pada pukul 8.59 pagi, dengan gegaran dilapor dirasai di beberapa kawasan di Johor dan selatan Pahang.

Ahad lalu, MetMalaysia mengesahkan dua kejadian gempa bumi lemah masing-masing berukuran magnitud 4.1 di Segamat pada 6.13 pagi dan 2.8 di Yong Peng, 28 kilometer barat laut Kluang pada 9 pagi.- MalaysiaGazette