KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad tidak memberitahu atau meminta nasihat daripadanya mengenai pelaburan yang ingin dibuat oleh bekas pelakon itu.
Menurut Bung Moktar ketika membela diri terhadap tiga tuduhan rasuah membabitkan pelaburan FELCRA dalam Unit Amanah Public Mutual Berhad berjumlah RM150 juta, Zizie Izette juga tidak memberitahunya mengenai wang pengenalan yang diterima daripada dua ejen berhubung pelaburan berkenaan.
Mereka adalah Perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar dan Madhi Abdul Hamid.
Bung Moktar, 65, yang juga Pengerusi BN Sabah bersetuju dengan soalan peguam bela Zizie Izette, Datuk K Kumaraendran ketika disoal balas, bahawa beliau hanya mengetahui perkara itu apabila dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketika perbicaraan kes rasuah itu di peringkat pendakwaan sebelum ini, Norhaili dalam keterangan berkata, Zizie Izette layak menerima wang pengenalan kerana memperkenalkan suaminya untuk FELCRA membuat pelaburan berkenaan.
Norhaili berkata bayaran wang pengenalan yang diberikan kepada Zizie Izette itu adalah strategi pemasaran pihaknya apabila wanita itu turut memperkenalkan seorang pegawai kanan FELCRA untuk membuat pelaburan sama.
Bung Moktar yang ketika itu adalah Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad turut bersetuju dengan cadangan Kumaraendran, bahawa isterinya tidak pernah memberitahu mengenai pendapatan beliau (Zizie Izette).
Jelasnya, malah Zizie Izette juga tidak perlu menggunakan wang sendiri bagi perbelanjaan keluarga.
Bung Moktar didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan FELCRA melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada Madhi menerusi isterinya di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.
Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada Norhaili melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.
Manakala Zizie Izette turut membela diri terhadap tuduhan bersubahat berhubung perkara sama.
Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu juga bersetuju dengan cadangan Kumaraendran bahawa, isterinya tidak mencampuri urusan kerjanya kerana beliau memberi kebebasan kepadanya.
Peguam: Setuju, Datuk Seri tidak pernah berbincang mengenai urusan rasmi, termasuk kerja dalam FELCRA Berhad dengan Datin Seri Zizie Izette.
Bung Moktar: Setuju.
Kumaraendran: Setuju Datin Seri Zizie Izette tidak mengambil tahu mahupun memberi pendapat mengenai urusan kerja kamu di parlimen?
Bung Moktar: Setuju
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung pada sesi petang.

