Arif Aiman tak boleh cuti panjang

KUALA LUMPUR: Meskipun saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini sudah melabuhkan tirainya Sabtu lalu, tiada istilah cuti panjang buat pemain yang akan dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

Skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski akan mengharungi pertembungan getir dengan Vietnam bagi aksi kedua Kumpulan F kempen kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 10 Jun ini.

Melihat kepada musim Liga M 2024-2025 sudah berakhir, skuad negara tampak boleh melakukan persiapan lebih awal bagi menghadapi aksi berdepan pasukan ranking 109 dunia itu yang juga pilihan utama dalam Kumpulan F.

Keputusan berdepan Vietnam di halaman sendiri itu bakal memberi impak besar terhadap peluang Harimau Malaya kerana hanya juara kumpulan sahaja yang akan layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Kalendar perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan bermula dari 2 hingga 10 Jun dan latihan pusat skuad kebangsaan dijangka bermula pada pertengahan atau hujung bulan ini.

Justeru, pemain yang akan dipanggil Cklamovski perlu mempersiapkan diri dan selain berkemungkinan terpaksa mengorbankan cuti panjang musim Liga M bagi memenuhi tugasan bersama Harimau Malaya.

Perkara itu turut diakui bintang sensasi negara, Arif Aiman Hanapi yang memaklumkan bahawa dia masih belum pasti mengenai cutinya selepas mengharungi musim panjang bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Perancangan saya (selepas ini), mungkin saya kena fikirkan pasukan kebangsaan untuk perlawanan akan datang (menentang Vietnam) pada Jun ini. Aksi itu memang penting buat kami dan saya akan melakukan persiapan terbaik.

“Saya berasa cuti pun tak tahu bagaimana, jadi tengoklah macam mana nanti,” kata Arif Aiman ketika ditanya mengenai perancangannya selepas berakhir saingan Liga M musim ini.

Arif Aiman bersama beberapa tonggak JDT yang lain mengharungi jadual padat musim ini kerana bukan sahaja beraksi dalam Liga M, malah mereka turut terbabit dengan aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Harimau Malaya ketika ini berada di kedudukan kedua Kumpulan F selepas menewaskan Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, 25 Mac lalu, terikat tiga mata bersama Vietnam yang menghuni tangga teratas.