MILAN: Kevin De Bruyne akan kembali ke Etihad awal pagi Jumaat ini dengan penuh keyakinan selepas permulaan cemerlang bersama Napoli, yang turun ke pentas Liga Juara-Juara dengan moral tinggi hasil rekod sempurna dalam kempen Serie A.
De Bruyne, 34, sudah meledak dua gol dalam tiga perlawanan pertamanya bersama juara Itali itu dan segera menjadi watak utama dalam usaha Napoli mencipta impak di Eropah selepas memenangi kejuaraan liga musim lalu.
Pemain tengah Belgium itu pulang ke Manchester City dengan reputasi besar selepas sedekad gemilang di sana, memenangi enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara pada 2023, meskipun sering bergelut dengan kecederaan hamstring.
Jurulatih Antonio Conte melakukan rombakan taktikal untuk membuka ruang buat De Bruyne, meletakkannya sebagai perancang kreatif di tengah padang.
Perubahan itu sedikit menolak Scott McTominay – bintang utama musim lalu – ke bahagian kiri, namun masih diberi kebebasan menyerang.
Keputusan itu segera membuahkan hasil ketika Napoli membenam Fiorentina 3-1 di Florence Sabtu lalu, dengan De Bruyne membuka jaringan menerusi sepakan penalti sebelum terus menjadi ancaman dengan beberapa hantaran berbahaya.
“Peranan yang kami wujudkan buat Kevin amat sesuai kerana dia suka mengawal bola di kakinya,” kata Conte selepas perlawanan.
“Dia seorang genius. Kami cuba memberikan peranan baharu yang membolehkannya mempamerkan sepenuhnya kualiti luar biasanya. Dia nampak situasi yang orang lain jarang nampak.”
Conte turut mengakui pertembungan dengan City adalah ujian sebenar buat dirinya dan Napoli, terutama selepas skuad Pep Guardiola mempamerkan kehebatan ketika membelasah Manchester United pada aksi musuh tetangga Ahad lalu.
Sebagai bekas pemenang EPL bersama Chelsea, Conte pernah dikritik kerana dianggap kurang fleksibel dan gagal menyerlah di pentas Eropah.
Namun sejak mengambil alih Napoli, beliau menyesuaikan gaya permainannya dan sedar cabaran getir menanti di Manchester serta sepanjang peringkat liga kali ini.
“Kami akan mula bermain setiap tiga hari dan ia tidak mudah,” jelas Conte.
“Kami pergi ke sana sebagai murid untuk belajar daripada sang guru, termasuk saya sendiri dengan harapan suatu hari nanti murid mampu mengalahkan gurunya.” – AFP

