Penternak ikan patin, Nizam Mohd Tapar (kanan) menambah benih ikan dalam sangkar selepas anak patin sedia ada mati. – NSTP/ROSELAN AB MALEK
JERANTUT: Cuaca panas melampau yang melanda sejak lebih sebulan lalu menyebabkan berpuluh ribu anak ikan patin diternak dalam sangkar mati mengejut dengan ramai pengusaha di daerah ini mendakwa kerugian besar. susulan cuaca panas melampau.
Cuaca panas melampau itu mengakibatkan paras air di Sungai Pahang surut, malah di sesetengah tempat kering kontang.
Penternak ikan patin sangkar di Kampung Lada, Bahasirzal Abu Bakar,44, mendakwa lebih 2,000 anak ikan patin berusia dua bulan yang diternaknya mati.
“Saya mempunyai 51 sangkar tetapi hanya mengisi sembilan sangkar untuk menternak patin, setiap satu diisi kira-kira 1,000 hingga 1,500 anak ikan, namun tidak semua dapat bertahan dengan cuaca panas ini. Biasanya patin perlu diternak lebih empat bulan sebelum dapat dipasarkan,” katanya.
Selain cuaca panas, ramai penternak ikan patin sangkar turut berdepan masalah kenaikan harga makanan ikan yang mencecah RM83 seguni, menambah kerugian besar ditanggung mereka apabila ternakan mati dalam jumlah besar.
Penternak ikan sangkar di Kampung Rumpun Makmur, Nizam Mohd Tapar, 40, mengakui cuaca panas ketika ini menyebabkan hasil ternakan makin merosot dengan banyak anak patin diternaknya mati dipercayai akibat kekurangan oksigen selain air sungai menjadi panas disebabkan kemarau melampau.
Dia menjangkakan bekalan ikan patin ke pasaran akan terjejas dalam beberapa bulan akan datang susulan keadaan cuaca panas melampau yang menyebabkan pembesaran ikan patin diternak menjadi terbantut.
“Ikan patin berusia enam bulan sepatutnya mampu mencapai berat 1.2 kilogram, namun cuaca panas menyebabkan beratnya hanya sekitar 800 gram,” katanya.