Alaves gugurkan pemain warisan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Pertahanan Deportivo Alaves, Facundo Garces menjadi pemain terbaharu digugurkan daripada pasukan pada hari perlawanan selepas dikenakan hukuman penggantungan oleh Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Kelab La Liga Sepanyol itu mengesahkan Garces tidak disenaraikan untuk aksi menentang Mallorca di Estadi Mallorca Son Moix, hari ini, susulan keputusan FIFA.

“Garces tidak akan terbabit dalam skuad bagi perlawanan itu susulan sekatan yang dikenakan Jawatankuasa Disiplin FIFA,” jelas kenyataan rasmi Alaves.

Bagaimanapun, kelab itu tetap menyatakan sokongan padu kepada pertahanan berusia 25 tahun itu dengan menegaskan prinsip ‘presumption of innocence’ dan berharap kes itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

Garces kini menjadi pemain ketiga dikaitkan dengan tujuh pemain kebangsaan Malaysia yang digantung FIFA kerana didakwa menggunakan dokumen palsu ketika aksi kelayakan Piala Asia AFC menentang Vietnam, Jun lalu.

Terdahulu, kelab dari Colombia, America de Cali mengesahkan penyerang Rodrigo Holgado menerima penggantungan 12 bulan yang melarangnya terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak.

Turut mengumumkan tindakan sama ialah kelab Sepanyol, Unionistas de Salamanca CF yang menggantung pertahanan Gabriel Palmero selepas menerima notis daripada FIFA.

Empat lagi pemain yang berdepan nasib serupa ialah Imanol Javier Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Semalam, FIFA dalam kenyataan tegas mengenakan penggantungan setahun serta denda CHF2,000 (anggaran RM10,800) kepada setiap pemain yang terbabit.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut dikenakan denda berat CHF350,000 (kira-kira RM1.9 juta) kerana peranan mereka dalam insiden kontroversi berprofil tinggi itu.