Baru 27 hari dilantik, PM Perancis umum letak jawatan

PARIS – Pejabat Presiden Perancis memaklumkan Perdana Menteri Sébastien Lecornu telah menghantar surat peletakan jawatan pagi Isnin, beberapa jam selepas mengumumkan barisan Kabinet bagi kerajaan baharu beliau.

Media tempatan melaporkan, Lecornu meletakkan jawatan selepas hanya 27 hari berada di pejabat, menjadikannya Perdana Menteri paling sekejap berkhidmat dalam sejarah Perancis.

Tindakan itu juga akan menyebabkan ketidaktentuan politik di negara tersebut.

Terdahulu, Lecornu mengumumkan barisan Kabinetnya pada Ahad malam, iaitu hampir empat minggu selepas beliau dilantik oleh Presiden Emmanuel Macron.

Namun, perpecahan mula timbul apabila ahli daripada beberapa parti dalam gabungan pemerintah dengan lantang mengkritik dan menyatakan keraguan mereka terhadap Jemaah Menteri yang dipilih Lecornu.

Mereka menyifatkan tiada perubahan terhadap barisan Kabinet baharu berbanding Jemaah Menteri yang dilantik Perdana Menteri yang telah digugurkan iaitu Francois Bayrou.

Ini menyebabkan Lecornu, bekas Menteri Pertahanan berdepan tugas mencabar untuk mendapatkan kelulusan Parlimen yang terutama dalam pembentangan bajet berhemah tahun depan.

Lecornu dijadual mengeluarkan kenyataan awam pada pukul 10:45 pagi waktu Paris (4.45 petang waktu Malaysia). –AGENSI