NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terpaksa mengurangkan anggota pasukan pengamannya di seluruh dunia sebanyak kira-kira 25 peratus berikutan berdepan masalah kekurangan dana.
Keadaan itu sebahagian besarnya berpunca daripada pemotongan bantuan oleh Amerika Syarikat (AS), kata seorang pegawai kanan PBB semalam.
Menurut pegawai yang enggan dikenali, kira-kira 13,000 hingga 14,000 anggota tentera dan polis bersama kelengkapan mereka perlu dipulangkan ke negara asal, selain sebilangan besar kakitangan awam dalam misi turut terjejas.
AS sebelum ini dijangka menyumbang AS$1.3 bilion (RM5.4 bilion) daripada jumlah keseluruhan belanjawan AS$5.4 bilion (RM22.7 bilion) untuk operasi pengaman bagi 2025-2026.
Namun, AS kini memaklumkan kepada PBB, pihaknya hanya akan membayar sekitar separuh daripada jumlah itu iaitu AS$682 juta (RM2.8 bilion), termasuk AS$85 juta (RM358 juta) yang diperuntukkan khas untuk misi antarabangsa baharu membanteras kumpulan pemberontak di Haiti yang tidak termasuk dalam belanjawan asal.
China dijangka menyumbang AS$1.2 bilion (RM5.05 bilion) kepada belanjawan pasukan pengaman yang merekodkan tunggakan bayaran berjumlah AS$2 bilion (RM8.4 bilion) setakat Julai.
Daripada keseluruhan belanjawan itu, PBB kini menjangkakan kekurangan 16 hingga 17 peratus dalam belanjawan semasa untuk operasi pengaman.
Presiden AS, Donald Trump sejak sekian lama mendakwa institusi antarabangsa mengambil kesempatan terhadap AS dan sudah melaksanakan pemotongan besar terhadap bantuan luar negara sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu.
“Kami sedar akan wujud kesan terhadap pemantauan gencatan senjata, perlindungan orang awam, kerjasama dengan pertubuhan kemanusiaan serta aktiviti pengaman lain,” kata pegawai itu.
Pengurangan 25 peratus anggota akan dilaksanakan ke atas sembilan daripada 11 misi pengaman PBB yang sudah pun menyediakan pelan kecemasan sekiranya berlaku pemotongan bajet, katanya lagi.
PBB kini menempatkan pasukan pengamannya di timur Republik Demokratik Congo, selatan Lubnan, Republik Afrika Tengah, Sudan Selatan dan Sahara Barat.
Pengumuman ini berkemungkinan besar membawa kepada pengurangan ketara dari segi perlindungan konvoi bantuan kemanusiaan serta orang awam yang bergantung kepada bantuan terbabit,” kata Louis Charbonneau dari Human Rights Watch kepada AFP.
“Kami berharap PBB akan beri keutamaan kepada aktiviti kemanusiaan dan hak asasi manusia yang menyelamatkan nyawa,” tambahnya.
Richard Gowan daripada International Crisis Group pula berkata, kesan pemotongan itu di lapangan akan berbeza mengikut lokasi.
“Di tempat seperti Sudan selatan, di mana pasukan pengaman memberikan perlindungan asas kepada orang awam dan hampir tercetus perang baharu tahun ini. Pengurangan pasukan memberi isyarat yang sangat membimbangkan,” katanya.

