KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan isu pemilihan pemaju bagi projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru tidak melibatkan campur tangan kerajaan sebaliknya dilakukan sepenuhnya oleh penduduk sendiri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, penjelasan tersebut dibuat pihaknya ekoran kekeliruan berhubung perkara itu bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat umum malah turut timbul dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat.
Menurutnya, fakta sebenar menunjukkan penduduk Kampung Sungai Baru sendiri yang mengambil inisiatif menubuhkan sebuah persatuan bagi mencari, memilih dan melantik pemaju yang mereka kehendaki bagi melaksanakan projek pembangunan semula kawasan tersebut.
“Ramai di luar sana bahkan ada sesetengah Ahli Dewan Rakyat juga saya lihat keliru dan terus-terusan mengatakan bahawa Kerajaan yang terlibat dalam pemilihan pemaju.
“Untuk makluman Tan Sri Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, penduduklah yang sebenarnya bersetuju sendiri yang mencari, memilih dan melantik pemaju yang mereka inginkan tanpa ada campur tangan kerajaan,” katanya ketika sesi penerangan di Dewan Rakyat hari ini.
Jelasnya, penduduk telah menubuhkan Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru pada tahun 2010 bagi menggerakkan pembangunan semula kawasan tersebut yang melibatkan 328 unit hartanah terdiri daripada 264 unit flat dan 64 unit rumah teres.
Persatuan itu kemudian menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat Ritzy Gloss Sdn. Bhd. sebelum ia diambil alih oleh Suez Capital Sdn. Bhd. pada 2016 untuk melaksanakan projek pembangunan semula tersebut.
Beliau turut menolak dakwaan pelbagai pihak kononnya syarikat berkenaan dimiliki oleh pihak luar negara, sebaliknya semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan pemilikannya adalah 100 peratus warganegara Malaysia.
Penjelasan itu jelas Dr Zaliha sekali gus menangkis persepsi bahawa kerajaan memihak kepada mana-mana pemaju tertentu dalam projek berkenaan, sebaliknya membuktikan proses pembangunan bermula daripada persetujuan dan inisiatif komuniti setempat.
“Ini penting untuk difahami dengan jelas supaya tidak timbul lagi kekeliruan atau tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Dr Zaliha turut menegaskan bahawa tiada rekod rasmi yang menunjukkan tanah tersebut adalah tanah penempatan pertanian Melayu (MAS) atau rizab Melayu.
“Walau pun perkara ini ada disebut oleh Tan Sri Ambrin Buang yang merupakan Ahli Dewan Diraja Selangor dan juga bekas Pengerusi PKB. Saya mohon maaf kerana tidak boleh mengulas panjang tentang isu ini memandangkan isu ini masih lagi di dalam proses pengurusan kes di mahkamah.
“Cuma apa yang saya boleh katakan adalah berdasarkan semakan PTGWPKL, tanah tersebut tidak pernah diwartakan sebagai kawasan MAS atau tanah rizab Melayu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

