Bas bawa rakyat Palestin yang ditahan Israel tiba di Gaza

BANDAR GAZA – Beberapa buah bas yang membawa tahanan yang dibebaskan Israel sebagai tukaran kepada tebusan Hamas, selamat tiba di Khan Younis, Bandar Gaza, kata wartawan AFP yang menyaksikan peristiwa itu.

Tambah beliau, ribuan orang berkumpul untuk menyambut tahanan-tahanan tersebut sambil bersorak kegembiraan dan mengibarkan bendera Palestin serta Hamas.

Dalam pada itu, media turut melaporkan, Israel telah membebaskan 250 rakyat Palestin sebagai mematuhi salah satu syarat dalam perjanjian gencatan senjata dengan Hamas.

Kira-kira 100 daripada mereka tiba di Ramallah iaitu kawasan Tebing Barat yang telah dijajah Israel.

Kebanyakan daripada tahanan tersebut kelihatan snagat kurus, cengkung dan terdapat sebahagiannya mengalami kecederaan.

Dianggarkan seramai 1,700 tahanan dari Gaza termasuk 15 kanak-kanak turut dibebaskan Israel.

Sementara itu, baki rakyat Israel yang ditahan Hamas sejak dua tahun lalu turut dibebaskan Hamas, hari ini. –MalaysiaGazette