Ismail Sabri sambung beri keterangan esok – SPRM

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka hadir semula untuk menyambung keterangan kali kelapan pada esok.

BH difahamkan, Ahli Parlimen Bera itu dikatakan sepatutnya hadir memberi keterangan hari ini, namun ditangguhkan ke hari seterusnya.

Difahamkan, proses menyambung keterangan itu masih berlaku kerana terdapat pelbagai dokumen yang perlu disahkan beliau.

“Pegawai penyiasat akan merakam keterangan Ismail Sabri pada pagi esok,” kata sumber kepada BH, di sini hari ini

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan SPRM terhadap kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri, dianggarkan baru sekitar 15 hingga 20 peratus.

Beliau berkata, sesi mengambil keterangan daripada Ismail Sabri, dijangka disambung semula oleh pegawai penyiasat suruhanjaya tidak lama lagi.

Kali terakhir pemimpin veteran UMNO itu dipanggil tampil ke pejabat SPRM adalah pada 24 April lalu, bagi proses soal siasat dan memberi keterangan lanjut buat kali ketujuh bagi pengisytiharan harta kepada pegawai penyiasat SPRM.

Sebelum ini, beliau juga hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi membuat pengisytiharan harta kepada pegawai penyiasat.

Ismail Sabri berdepan siasatan berhubung isu rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi serta publisiti program yang dijalankan kerajaan.

Dakwaan salah laku itu dibuat ketika tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.