Lagi kes rogol berkumpulan libat pelajar, empat remaja ditahan polis

KUALA LUMPUR – Belum pun reda isu melibatkan moral pelajar kini empat remaja termasuk tiga pelajar sebuah sekolah menengah di Baling, Kedah ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes rogol secara berkumpulan serta menyebarkan rakaman lucah tersebar di media sosial.

Media melaporkan, Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Mat Ali berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 53 tahun kira-kira jam 11 pagi, Ahad lalu selepas dimaklumkan guru disiplin sekolah berkenaan mengenai penularan video bogel melibatkan anaknya.

Bertindak atas maklumat itu, polis menahan empat remaja termasuk tiga pelajar dan seorang bekas pelajar sekolah sama pukul 9.30 malam hari sama bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan awal mendapati keempat-empat suspek terbabit dalam beberapa kejadian rogol termasuk secara berkumpulan antara Mei hingga Ogos lalu di beberapa lokasi sekitar kawasan sekolah,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, semua suspek direman selama lima hari bermula tarikh tangkapan bagi membantu siasatan lanjut manakala enam telefon bimbit turut dirampas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana melakukan rogol berkumpulan serta Akta Kanak-Kanak berkaitan penghantaran bahan pornografi melibatkan kanak-kanak.

“Polis memandang serius kejadian ini dan menasihatkan ibu bapa serta penjaga agar lebih peka terhadap pergerakan serta aktiviti anak-anak, khususnya dalam kalangan remaja,” tegasnya. –MalaysiaGazette