PARIS: Persekutuan BolaSepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan lebih satu juta tiket Piala Dunia 2026 sudah terjual selepas berakhirnya fasa pra-jualan eksklusif Visa, yang berlangsung sejak pertengahan September.
Menurut kenyataan FIFA semalam, peminat dari 212 negara dan wilayah membeli tiket dalam tempoh pra-jualan itu, dengan Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico — tiga negara tuan rumah — menjadi penyumbang utama permintaan.
Negara lain yang mencatat permintaan tinggi termasuk England, Jerman, Brazil, Sepanyol, Colombia, Argentina dan Perancis.
“Ini satu pencapaian yang amat mengujakan dalam perjalanan menuju 2026.
“Hari ini kita meraikan kejayaan melepasi angka sejuta tiket selepas fasa pra-jualan Visa — bukti jelas bahawa Piala Dunia paling besar dan inklusif dalam sejarah sedang mencetuskan keterujaan global,” kata Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Setakat ini, 28 pasukan sudah layak ke kejohanan yang bakal menampilkan 48 negara dan 104 perlawanan di 16 bandar raya merentasi tiga negara tuan rumah.
FIFA turut memaklumkan bahawa fasa jualan awam pertama akan bermula pada 27 Oktober, menawarkan tiket individu, pakej stadium tertentu, dan pakej pasukan tertentu.
Selain itu, FIFA turut melancarkan platform rasmi jual semula tiket bagi melindungi peminat daripada pembelian tidak sah atau penipuan.
Piala Dunia 2026 bakal mencatat sejarah sebagai kejohanan pertama dianjurkan oleh tiga negara serentak — Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico. – REUTERS

