PETRONAS Carigali: Lambang keteguhan tenaga Malaysia

PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PETRONAS Carigali), anak syarikat milik penuh PETRONAS, kini berada di tengah transformasi besar dalam strategi huluannya. 

Fokus bukan sekadar mencari minyak dan gas, tetapi mencipta nilai yang lebih luas untuk negara melalui pembangunan projek, peluang pekerjaan, peningkatan kapasiti industri, dan memperkukuhkan kedudukan Malaysia di peta tenaga global.

Dalam temu bual bersama BH baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Carigali, Hazli Sham Kassim, mendedahkan pelan pelaburan lima tahun syarikat untuk sektor huluan, merangkumi projek domestik dan antarabangsa. 

“Bagi pihak PETRONAS Carigali, tumpuan utama kami tetap di Malaysia, manakala bagi perniagaan huluan secara keseluruhan, dana juga akan digunakan untuk pelaburan luar negara,” katanya. 

Strategi ini membolehkan syarikat mengoptimumkan pulangan pelaburan, mengurus risiko, dan menyokong pertumbuhan mampan sektor tenaga negara sambil mengekalkan keseimbangan antara pencapaian sasaran ekonomi domestik dan pengembangan strategik global.

Di Malaysia, beberapa projek menjadi nadi pembangunan sektor huluan. Antaranya, projek Bekok Shallow di pesisir Semenanjung Malaysia yang membuktikan keupayaan operasi PETRONAS Carigali apabila berjaya mencapai pengeluaran pertama hanya dalam tempoh 15 bulan selepas penemuan.

Penemuan baharu seperti Megah-1 pula menandakan kejayaan terbesar dalam hampir dua dekad. Terletak di Deepwater Block 3K, Megah-1 memiliki rizab dianggarkan sekitar 200 hingga 300 juta tong minyak, bersamaan dengan saiz medan Kikeh.

“Ini adalah penemuan terbesar dalam tempoh hampir 20 tahun,” jelas Hazli Sham.

Penemuan ini dicapai selepas penggerudian berhati-hati menggunakan teknologi moden, walaupun kawasan berkenaan sebelum ini pernah cuba dimasuki oleh syarikat antarabangsa lain tanpa hasil signifikan.

Paling membanggakan, kejayaan penerokaan ini dicapai sepenuhnya oleh kepakaran tempatan.

“Saya boleh katakan dengan bangga, semua penemuan ini adalah hasil daripada kepintaran dan daya kreativiti anak Malaysia. 

Pasukan penerokaan kami yang terdiri daripada bakat tempatan telah membuktikan mereka mampu mencipta kejayaan bertaraf dunia,” tegas Hazli Sham.

Bagi mempercepat pembangunan dan mengurangkan risiko, PETRONAS Carigali membawa masuk rakan kongsi antarabangsa untuk berkongsi pelaburan dan kepakaran, sekali gus mengukuhkan keberhasilan penemuan serta mempelbagaikan portfolio.

Pendekatan berhemah 

Dalam pengurusan portfolio, PETRONAS Carigali menekankan pendekatan berhemah dalam risiko dan kos. “Dalam portfolio PETRONAS Carigali, kita sentiasa menilai risiko. Adakah risiko itu berbaloi atau tidak. Setiap pelaburan mesti memenuhi tahap pulangan minimum yang ditetapkan, berdasarkan country premium atau ‘area premium’. Kalau melebihi ambang itu, barulah ia layak dilabur. 

“Portfolio kita perlu seimbang dan sihat. Sebab itu kita fokus kepada strategi portfolio high-grading, iaitu menilai dan menyusun semula semua aset, menentukan mana yang patut dilabur secara agresif atau dikongsi dengan rakan kongsi. Strategi ini membolehkan kita lebih cekap dan memaksimumkan pulangan dengan dana yang terhad,” jelas Hazli Sham.

Beliau menambah, PETRONAS Carigali juga mempunyai sasaran untuk mengekalkan harga titik pulang modal operasi di bawah 50 dolar AS setong.

“Kos pengeluaran setiap unit pula kita sasarkan di bawah 6 dolar AS setong. Itu sasaran kita untuk setiap aset. 

“Strategi portfolio ini termasuk menilai aset lama yang berisiko kos tinggi serta membawa masuk rakan kongsi atau pemain lebih kecil sekiranya mereka dapat membantu mengurangkan kos operasi. 

“Pada masa sama, syarikat turut memacu projek yang berkos rendah dan rendah emisi, sejajar dengan aspirasi PETRONAS mencapai Sifar Bersih Pelepasan Karbon (NZCE) menjelang 2050,” jelasnya lagi.

Teroka inovasi teknologi

PETRONAS Carigali juga giat meneroka inovasi teknologi bagi meningkatkan keberkesanan eksplorasi dan pengeluaran.

Contohnya, teknologi ERMAI (Enhanced Resource Monetisation Artificial Intelligence) yang dibangunkan secara dalaman, membolehkan data telaga diproses dalam masa enam saat berbanding enam hari sebelum ini.

Hazli Sham menjelaskan, ini membolehkan PETRONAS Carigali mengenal pasti peluang dengan pantas dan merancang pembangunan dengan cepat. 

Purata dalam industri biasanya 100 bulan, tetapi kami sasarkan untuk melakukannya separuh dari tempoh itu.

Fokus PETRONAS Carigali juga merangkumi keseimbangan antara minyak dan gas, memastikan kelangsungan bekalan tenaga negara, serta melibatkan syarikat tempatan dalam projek berskala besar. 

“Kita sentiasa bekerjasama dengan pembekal tempatan, berganding bahu untuk memastikan mereka lebih kompetitif, supaya lebih banyak aktiviti boleh dijalankan bersama,” kata-nya.

Dengan kombinasi strategi pelaburan, pengurusan risiko, penerapan teknologi moden, dan kerjasama tempatan serta antarabangsa, PETRONAS Carigali menegaskan komitmen untuk membantu Malaysia mengekalkan tahap pengeluaran kira-kira 2 juta tong minyak setara sehari. 

“Untuk mengekalkan pengeluaran sekitar dua juta tong minyak, kita mesti sentiasa melabur semula dan mencari sumber baharu. Hanya dengan itu kita dapat memastikan kelangsungan bekalan tenaga negara pada masa depan,” kata Hazli Sham.

Mengulas mengenai hala tuju industri, beliau berkata PETRONAS Carigali kini lebih terbuka untuk mengambil risiko, sama ada dalam eksplorasi, kontrak, atau pembangunan berfasa.

Pendekatan ini membolehkan syarikat mempercepatkan aliran tunai, mengurangkan ketidakpastian, dan pada masa sama memastikan daya pengeluaran negara terus terjamin.

Selain projek domestik, PETRONAS terus meninjau peluang antarabangsa termasuk Brazil, Suriname, Kanada, serta bekerjasama dengan negara jiran melalui perjanjian pembangunan bersama seperti dengan Thailand dan Vietnam.

“Di Semenanjung, kita ada Joint Development Agreement (JDA) dengan Thailand yang sudah wujud lebih 40 tahun dan PM3 Commercial Arrangement Area (PM3 CAA) dengan Vietnam. 

“Konsepnya mudah. Kita bekerjasama, membangunkan sumber secara bersama, supaya dapat memastikan bekalan tenaga untuk negara-negara terlibat terus terjamin,” kata Hazli Sham.