KUALA LUMPUR: Taktik satu sindiket pengedaran dadah menjadikan kondominium dan residensi mewah dilengkapi kawalan keselamatan ketat terbongkar dalam enam siri serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Dalam enam siri serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, bermula 14 hingga 17 Oktober lalu, polis menahan tiga lelaki tempatan dan tiga wanita warga asing berusia antara 33 hingga 61 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata pihaknya berjaya merampas serbuk dadah jenis MDMA, pil Eramin 5, bunga ganja, pil ekstasi dan ketamin dianggarkan bernilai RM3.81 juta dalam kesemua serbuan berkenaan.
Katanya, dengan menjadikan unit kediaman mewah sebagai stor simpanan dadah, aktiviti sindiket ini pastinya sukar dikesan disebabkan kawalan ketat pihak kawalan keselamatan untuk akses masuk ke kawasan persendirian.
“Dalam serbuan pertama pada 14 Oktober lalu, kita menahan seorang lelaki yang menaiki kereta Perodua Myvi di kawasan pasar raya di Taman Maluri, Cheras, dan menemui 1,000 paket plastik disyaki serbuk methylenedeioxy methamphetamine (MDMA) seberat 18,310gram (gm).

“Polis kemudiannya menahan seorang lagi lelaki dalam serbuan di tepi jalan sekitar Pandan Perdana, Ampang Jaya, yang mana hasil tangkapan kedua-dua mereka membawa kepada serbuan ke atas sebuah rumah di Pandan Perdana.
“Pemeriksaan di dalam rumah itu membawa kepada penemuan serbuk dadah jenis MDMA seberat 990gm, pil Erimin 5 (195 gm), ketamin (32.78 gm) dan pil ekstasi (52.81 gm) serta tangkapan seorang wanita warga asing,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Fadil berkata, pada keesokan harinya, pihak polis melakukan serbuan ketiga di satu unit kediaman di sebuah kondominium di Pandan Perdana, Ampang Jaya dan menahan seorang lagi wanita warga asing bersama rampasan satu beg kanvas mengandungi tiga bungkusan plastik lutsinar disyaki serbuk MDMA seberat 1,295 gm.
“Dalam serbuan keempat kita menahan seorang lagi wanita warga asing di hadapan kondominium itu bersama satu beg mengandungi enam paket plastik lutsinar disyaki dadah MDMA seberat 215 gm.
“Polis kemudian membuat pemeriksaan di dalam satu unit kediaman lain di kondominium yang sama sebelum merampas 7,650 paket plastik disyaki MDMA seberat 419,795 gm, empat bekas plastik disyaki serbuk MDMA (22,160 gm) dan peralatan memproses dadah,” katanya.
Beliau berkata, dalam serbuan keenam yang dijalankan pada jam 10.10 malam, 17 Oktober lalu, pihak polis menahan seorang lelaki di tempat letak kereta pasar raya di Jalan Imbi, di sini, yang mana pemeriksaan di dalam sebuah kereta Honda Civic menemui bunga ganja seberat 38,710 gram.
“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan rumah kondominium sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan kepada pelanggan (pengedar kecil) serta menjadikan tempat letak kereta lokasi transaksi dadah,” katanya.
Katanya, semakan lanjut mendapati dua yang ditahan mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952
“Suspek direman seminggu bagi membantu siasatan dan turut menyita wang tunai RM10,400, barang kemas dan jam tangan,” katanya.

