Budak perempuan 4 tahun maut akibat strok haba tertinggal dalam kereta

GUA MUSANG: Seorang kanak-kanak perempuan ditemukan maut dalam sebuah kenderaan di Tanah Putih, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, mangsa yang berusia empat tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri oleh bapanya dalam kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata mangsa dikejarkan ke Hospital Gua Musang dan disahkan meninggal dunia serta proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dijalankan pakar patologi forensik.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, bapa mangsa dikatakan tertinggal anaknya dalam kereta itu selama tiga jam selepas mereka pulang bersarapan bersama.

“Doktor mengesahkan punca kematian disebabkan strok haba. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan laporan kematian mengejut kes ini masih dalam siasatan.

“Pihak polis menasihati orang awam tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat serta menggesa ibu bapa memastikan keselamatan anak mereka.

“Kita juga mengalu-alukan orang awam menyalurkan maklumat berkaitan kejadian ini kepada polis dengan tampil di mana-mana balai berhampiran selain menghubungi talian 09-9121222,” katanya.