Penang ikat The Cats di Kuching

KUCHING: Kuching City FC terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas seri 1-1 ketika melayan kunjungan Penang FC dalam aksi Liga Super 2025 di Stadium Negeri, Petra Jaya, di sini, malam ini.

Meskipun dilihat banyak menguasai perlawanan namun peluang yang dicipta The Cats tidak diterjemahkan kepada jaringan.

Pelawat membuka tirai jaringan menerusi tandukan Kipre Tchetche pada minit ke-14 selepas menerima hantaran rakan sepasukan.

Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Aidil Sharin Sahak menggadakan serangan bagi merapatkan defisit gol.

Usaha itu akhirnya membuahkan hasil apabila tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti penghujung babak pertama pertama.

Penyerang import Kuching City, Ronald Ngah Wanja mudah menyempurnakan peluang itu sekali gus memperoleh gol penyamaan.

Bersambung babak kedua, tuan rumah membuat beberapa pertukaran dengan taktikal serangan bagi memburu kemenangan.

Bagaimanapun perlawanan dilihat seimbang dengan tiada sebarang jaringan tambahan diciptakan.

Keputusan kekal 1-1 sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil perlawanan.

Kuching City ketika ini menduduki tangga ketiga Liga Super dengan 14 mata di belakang Kuala Lumpur City FC dan Johor Darul Ta’zim FC.