2 kali diserang strok, bekas wira merah kini terlantar

MELAKA: Insiden dua kali diserang strok dalam tempoh empat bulan menyebabkan seorang wira merah terpaksa bersara atas faktor kesihatan dan kini terlantar serta hanya mampu berkomunikasi melalui isyarat.

Bekas pegawai bomba, Ismail Samat, 49, kali pertama mengalami serangan strok pada 26 April 2024, beberapa hari selepas sambutan Aidilfitri, ketika sedang menunaikan solat subuh sebelum ke tempat kerjanya di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah.

Isterinya, Norfaizah Md Zain, 44, berkata dalam kejadian itu, suami tiba-tiba bercakap secara tidak jelas lalu dibawa ke klinik sebelum dirujuk ke Hospital Melaka apabila tekanan darah didapati tinggi dan menunjukkan tanda awal strok.

“Ketika itu, suami masih boleh berjalan dan bercakap. Namun ketika menunggu rawatan, tangan kirinya tiba-tiba menjadi lemah. Imbasan CT kemudian mengesahkan suami mengalami strok di bahagian kiri,” katanya ketika dihubungi.

Norfaizah berkata, selepas tiga hari dirawat dan menjalani fisioterapi, kesihatan Ismail menunjukkan perkembangan positif.

Beliau berkata, suaminya juga beransur pulih selepas menjalani rawatan susulan dan berurut bagi memulihkan pergerakan.

“Alhamdulillah ketika itu, dia sudah boleh berjalan dan bercakap semula. Semangatnya kuat sebab dapat sokongan keluarga dan rakan bomba,” katanya.

Selepas cuti sakit selama tiga bulan, Ismail kembali bertugas dengan tugasan ringan di pejabat.

Setiap hari, Norfaizah akan menghantarnya ke BBP Melaka Tengah dari rumah mereka di Kampung Simpang, Merlimau, sejauh hampir 40 kilometer.

Namun, ujian berat menimpa apabila Ismail diserang strok kali kedua pada 28 Ogos tahun sama sehingga menjejaskan seluruh bahagian kanan tubuh serta kemampuan bertutur.

“Keadaan selepas serangan strok kali kedua adalah lebih teruk. Dia langsung tidak boleh bercakap, malah mengunyah pun susah. Sekarang, hanya memberi isyarat apabila mahu sesuatu,” katanya sebak.

Sejak itu, Ismail hanya terlantar di rumah dan memerlukan bantuan sepenuhnya dalam urusan harian termasuk makan, minum serta kebersihan diri.

Hasil penilaian doktor pakar kemudian mengesahkan beliau tidak lagi mampu bertugas, sekali gus terpaksa bersara atas faktor kesihatan pada 28 Ogos lalu, selepas lebih 180 hari cuti sakit.

Norfaizah berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) banyak membantu keluarganya, malah rakan sekerja suami tidak putus-putus menziarah dan memberikan sokongan moral.

“Mereka mengadakan majlis persaraan khas di rumah pada 2 Oktober lalu yang turut dihadiri Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zaidi Ma’at.

“Saya sangat terharu dengan keprihatinan semua,” katanya yang kini menjual kudapan secara dalam talian bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Majlis berkenaan tular melalui media sosial sejak kelmarin dan mengundang simpati orang ramai terhadap nasib Ismail.

Bekas Pegawai Bomba Kanan (PBK) II itu telah berkhidmat selama 22 tahun empat bulan 21 hari, bermula di BBP Jerteh sebelum berpindah ke BBP Dungun dan seterusnya BBP Melaka Tengah pada 2011.

Pasangan itu dikurniakan tiga anak berusia antara 16 hingga 22 tahun.

Anak sulung mereka baru menamatkan kursus Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), anak kedua menuntut di politeknik dan bongsu masih bersekolah menengah.