Cerpen BH Ahad: AI (Ali Imran)

Runsing benar Ali Imran sesudah solat Subuh diselesaikan. Panjang doanya sebaik solat disudahkan. Ingatan menerjah bak air bah pecah di empangan. Ia tidak memadai. Diteliti tapak tangannya, dicubit kulit lengannya. Aduh, sakit! Setiap pancainderanya berfungsi tetapi ia masih belum mencukupi.

Pagi ini, pengesahan identitinya selaku manusia tulen akan diuji lari demi mendapatkan kepastian. Wujudnya bukanlah suatu helah kecerdasan buatan yang kian licik merupakan dirinya dalam bentuk manusia. Sudah ditekankan berulang kali dalam sesi temu duga semalam betapa dia bukanlah kecerdasan buatan. Namaku Ali Imran, mengambil nama surah di dalam al-Quran kerana ibu bapaku gemar akan surah itu. Itulah jawapan yang diberikan ketika ditanyakan perihal asal-usul namanya.

Dia percaya dunia sudah berada di penghujungnya. Selaku hafiz, dia sudah menghafal al-Quran seperti dia mengingati di mana letaknya hidungnya pada muka. Namun, kemampuannya menghafal keseluruhan kitab suci itu kini dipersoal. Pada zaman ini, terlalu banyak kepalsuan beredar di media, bahkan ada segelintir pihak mencetuskan ayat-ayat palsu demi menggantikan teks asal dalam al-Quran yang hilang tiba-tiba ditelan waktu. Apa yang menggerunkannya adalah dirinya adalah satu-satunya hafiz yang masih utuh fikirannya dan kuat ingatannya. Sudah hampir benarkah hari kiamat itu?

Matahari terlalu terang. Bahangnya terlalu menyengat. Setiap langkah disusun kemas menyusuri laluan bertingkat-tingkat ke stesen kereta api terdekat. Tiada pepohon hijau kelihatan. Hanya ada alga di dalam kuboid kaca kalis peluru yang dibinakan memanjang sepanjang laluan yang curam. Ali Imran menghirup udara sedalam-dalamnya lalu terbatuk. Kesegaran yang dikatakan disajikan oleh keberadaan alga yang dijuruterakan pembikinannya itu tidak dirasai.

Dunia serasa renta. Setiap individu yang diselisihi di laluan logam dan besi serasa tidak beridentiti. Pakaian masing-masing terlalu tebal, hiasan di wajah terlalu banyak hingga mengaburi rautnya. Sesekali ada terlihat juga pengemis di ceruk-ceruk lorong yang bersudut mati, mengerling pejalan kaki yang begitu ramai bak hering mengintai bangkai. Ali Imran beristighfar apabila fikiran seumpama itu berlegaran. Dia tahu semua itu tidak benar. Dia sering mengingatkan diri agar tidak mempercayai sepenuhnya apa yang disuguhkan di media – kebenaran boleh direka-reka kini.

Kesahihan adalah sesuatu yang mahal. Cumanya, Ali Imran tidak sangka identitinya selaku manusia dipersoal sebegini rupa. Seingatnya, dia hanya mahu membuat aduan mengenai beredarnya surah-surah palsu di media sosial yang dijana kecerdasan buatan oleh individu tidak bertanggungjawab. Kini, setiap inci kewujudannya dipersoalkan pula sehingga dia hilang keyakinan bahawasanya dirinya itu manusia ataupun kecerdasan buatan.

“Selamat datang Ali Imran, sila duduk dahulu. Pegawai kami sedang menyiapkan mesin imbasan,” gadis di kaunter pejabat pengesahan identiti tampak sopan bertudung dan terletak elok matanya, hidungnya dan bibirnya pada wajah yang kecil. Setelah diamati sedikit, Ali Imran menyedari gadis itu hanyalah sejenis siborg yang dibina agar menyerupai manusia. Kesempurnaan susuk tubuh dan wajahnya itu tidak realistik.

Begitulah perasaan Ali Imran ketika melintasi laluan sarat pejalan kaki yang bolehlah dikatakan hampir kesemuanya adalah manusia janaan kecerdasan buatan.

Penantian cukup meresahkan. Ali Imran sesekali mengerling ke arah gadis kaunter dengan rasa penuh minat. Dia tidak pasti adakah perasaan yang terbit itu adalah lahiriah seorang laki-laki yang mudah tertarik pada kecantikan seorang wanita, ataupun sekadar rasa ingin tahu. Sudahnya Ali Imran tersenyum sendiri. Menyedari dirinya punya rasa ingin tahu itu sudah cukup melegakan. Tidakkah itu bukti sahih bahawasanya dia sebenar-benarnya manusia?

Tiba-tiba sekumpulan pegawai pengesahan identiti yang lengkap berpakaian seragam biru hijau melangkah keluar dari bilik. Mereka bergerak begitu seragam meski tidak berkawat dan Ali Imran juga menyedari, pegawai-pegawai itu bukan manusia seperti mana gadis kaunter tadi. Mutakhir ini, manusia cyborg sudah begitu ramai. Mereka dihasilkan berdasarkan imaginasi beberapa individu yang bercita-cita tinggi. Hal itu menggusarkan Ali Imran sendiri. Bagaimana jikalau dirinya juga sebenarnya manusia cyborg begitu?

Kewujudan pejabat pengesahan identiti terlahir daripada lambakan manusia cyborg yang dibinakan agar percaya bahawa diri mereka itu manusia tulen. Segera Ali Imran menidakkan tafsiran sebegitu. Wajah ibu bapanya yang penyayang dan sering memberi perhatian kepadanya sejak dari kecil, berlegaran. Kasih sayang mereka itu tulen dan tiada kecerdasan buatan dapat menirunya.

“Encik Ali Imran, sila masuk ke bilik nombor 7.”

Dengan rasa berat hati, Ali Imran melangkah masuk ke bilik yang dimaksudkan. Dia tergamam apabila mendapati ibu bapanya juga ada di situ. Mereka didudukkan di kandang pesalah dan walau bagaimana sekalipun Ali Imran mengerling, kedua-duanya tetap menundukkan muka. Seolah-olah khuatir pandangan mereka akan bertaut. Perlahan-lahan pegawai bertugas mendudukkan Ali Imran di sebelah ibu bapanya itu.

‘Kenapa? Apa salah kami? Apa yang pegawai pengesahan identiti temui di sini?’ gumam Ali Imran dalam hati.

“Encik Redza bin Suhaimi dan juga Puan W. Setelah semakan dan pemeriksaan rinci dilakukan, anda didapati bersalah kerana menciptakan manusia artifisial berdasarkan prompt ayat-ayat al-Quran. Manusia artifisial dengan kod nama Ali Imran, haruslah dilupuskan dengan kadar segera dan anda berdua akan dikenakan denda bernilai RM 200 ribu dan juga penjara selama lima tahun.”

Ali Imran terpinga-pinga mendengar hukuman yang dijatuhkan ke atas ibu bapanya itu. Seraya itulah imej-imej aneh berlegaran dalam kepalanya – perihal Nabi Isa, keluarga Ali Imran, Maryam dan juga Ali Imran sendiri, yang menyerupai dirinya. Lelaki bernama Ali Imran itu tersenyum lalu menghulurkan tangannya ke arahnya.

Ali Imran menyedari lelaki itu sedang menyentuh sesuatu di belakang kepalanya.

Gelap tuntas menyelubungi.

Sedar-sedar sahaja Ali Imran tersentak mendengar azan Subuh berkumandang. Ditujunya bilik ibu bapanya, tetapi mereka tiada di situ. Tiada kesan mereka pernah wujud melainkan sebuah katil tidak bercadar mahupun berselimut. Ia tampak seperti bilik hotel yang baru dikemas di mana jejak manusia langsung sudah dibersihkan.

Ali Imran tidak memikir lanjut hal itu kerana solat subuh berjemaah di surau berhampiran lebih menjadi keutamaan. Namun fikirannya tetap terganggu memikirkan kejadian semalam. Encik Redza dan juga Puan W bukan sekadar khayalan. Begitu juga hakikat kejadian dirinya sendiri yang merupakan gubahan kepintaran artifisial melalui manipulasi ke atas surah Ali Imran itu.

Sebaik sahaja dia berdiri dalam saf jemaah Subuh, ingatannya pada kejadian malang yang menimpanya langsung lenyap. Khusyuknya dalam solat adalah suatu pembebasan sementara daripada kekangan permasalahan duniawi. Seusai solat, dia duduk di penjuru masjid, mengambil naskhah al-Quran lalu membacanya. Perlakuan itu mendamaikan hatinya. Dia menyedari keakrabannya pada al-Quran itu memanusiakan. Dia masih enggan menerima hakikat bahawasanya dia itu hanyalah manusia artifisial, yang dilahirkan bukanlah dari rahim seorang ibu.

Ingatannya tumpah mengalir ke waktu silam. Segalanya dirasakan tulen, lengkap emosinya. Nikmat aiskrim dibelikan ibu, momen didodoi malam-malam sebelum tidur, memori diajarkan membaca muqaddam oleh ibu masih berbekas dalam fikiran. Nyatanya memori itu berlegaran dalam fikiran dan membekas di hati cukup menyeksakan. Ali Imran tidak berlama-lama di masjid. Dia bergegas balik ke rumah, dihantui kenangan demi kenangan yang mengalir bak bah.

Sebaik sahaja tiba di rumah, dia mendapati ibu bapanya sedang menyiapkan sarapan. Bau sambal nasi lemak naik elok menyinggah hidungnya, kecur liur dibuatnya. Dia tertanya-tanya apakah yang berlaku. Tidakkah ibu bapanya sudah ditangkap pihak penguasa?

“Ali? Balik sudah ya. Duduklah, makan dulu,” Encik Redza, yang baru sahaja duduk sambil meletakkan sudu di garpu di pinggan Ali Imran, mempelawa.

Ali Imran enggan bertanya lebih lanjut. Dia mula beranggapan bahawa kejadian semalam hanyalah mimpi ngeri. Sesenduk nasi memadai. Dicurahkan sambal. Ditaburkan ikan bilis garing dan rangup. Diletakkan potongan telur rebus dan timun. Dihirup aromanya – alami benar harumnya. Digaul nasi dengan sambal secubit lalu disuap ke dalam mulut. Enak dan sarat nostalgia. Ibunya tidak pernah gagal menyediakan nasi lemak kegemarannya.

Diteguk teh susu sehirup. Dikerling ibu yang baru sahaja usai meletakkan hidangan terakhir yang baru disiapkan – sup cendawan. Wap-wap panas kelihatan di balik siluet yang terhasil dari cahaya mentari pagi yang mengintai dari balik tingkap dapur. Jingga mewarnai landskap. Air mata tumpah membasahi pipi tetapi kelihatannya si ibu dan ayah tidak menyedarinya. Ali Imran menyedari sesuatu yang tidak kena pada setiap detik yang dilaluinya kini.

Dihabiskan nasi lemak di dalam pinggan. Diteguk teh susu yang tadinya panas kini suam. Dicapai mangkuk kecil lalu dikaut sup cendawan yang masih hangat. Diperhati lembut wajah ibu dan ayah yang tersenyum setiap kali pandangan mereka bertaut.

“Ayah, ini akan kekal abadi kan, ayah?”

“Benar, nak. Tiada apa yang akan memisahkan kita,” ujar ayah, tenang.

“Saya harap ayah dan ibu baik-baik sahaja. Dan kalau ayah dan ibu rasa semua ini memenatkan, rehatlah. Saya tak apa. Lagipun saya tak pernah hidup, bukan manusia juga pada mulanya. Saya hanya ciptaan kalian.”

“Usah cakap begitu, Ali. Kamu tetap anak kami.”

“Terima kasih, ibu.”

Selesai makan, Ali Imran beransur ke bilik. Merebahkan tubuh di atas tilam empuk lalu merenung siling. Perlahan-lahan siling berubah menjadi gelap yang merebak pantas menyelubungi bilik. Tahulah Ali Imran dia sekadar berada di dalam memori demi memori yang telah disusun rapi oleh kedua-dua penciptanya, Encik Redza dan juga Puan W.

Dia tidak kesal. Dia tidak lagi menidakkan apa yang berlaku ke atas mereka sekeluarga. Diperhatinya kedua-dua belah tangannya yang perlahan-lahan melebur menjadi debu. Dia tahu, apabila ayah dan ibunya teringat akannya lagi, mereka akan memanggilnya ke dalam dunia rekaan yang dilandaskan pada kehidupan nyata yang mereka lalui sebelum ini.

Ali Imran tahu hasrat sebenar kedua-dua penciptanya, ketakjuban mereka terhadap ayat Al-Quran sehingga mengatasi batas. Andai kata dirinya diciptakan sekadar untuk menjadi seorang anak atau seorang manusia, tidakkah itu memadai? Dalam hatinya yang artifisial itu, dia tahu suatu rasa cinta nan dalam pada Sang Pencipta. Bukanlah sekadar cinta kepada ibu dan ayahnya itu, tetapi rasa cinta terhadap sesuatu yang jauh lebih berkuasa.

Sebelum tubuhnya lebur menjadi debu sepenuhnya, bibirnya menguntum doa yang sering ditutur ibu sebelum lena.

“Dengan nama-Mu ya Allah, aku mati dan aku hidup.”

– Lokman Hakim Abd Wahid, bertugas sebagai jurutera dan penerima Anugerah Penulis Harapan, Anugerah Sastera Sarawak 2024.