Gagal bayar cukai RM1.69 bilion, mahkamah tolak tangguh prosiding kebankrapan Najib dan anak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin, untuk menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap mereka.

Prosiding itu dimulakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas kedua-dua mereka gagal melunaskan tunggakan cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman, Suhendran Sockanathan @ Saheran Abdullah menolak rayuan itu selepas mendapati beliau tidak melihat sebarang kemudaratan lain yang boleh mewajarkan penangguhan.

Beliau turut memerintahkan kedua-duanya membayar kos RM7,000 setiap seorang.

Pada 16 Oktober 2023, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kedua-dua beranak itu perlu melunaskan cukai tertunggak selepas menolak rayuan mereka untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.