KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menegaskan hantaran tular yang mendakwa proses pemulihan bekas ahli Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) hanya berkaitan pengajian tajwid sahaja dan bukan berkaitan pemulihan akidah adalah tidak berasas dan tidak tepat.
Setiausaha MAIS, Shahir Makhtar berkata, MAIS melalui Mesyuarat Jawatankuasa Riqab pada 4 Februari 2025 telah meluluskan program pemulihan akidah terhadap bekas ahli GISBH menerusi Program Insan Rabbani.
Program ini bertujuan memulihkan akidah kepada ahli GISBH sejajar dengan fatwa Selangor yang diwartakan pada 16 Oktober 2024 iaitu fahaman, ajaran atau amalan ahli GISBH dan rangkaiannya menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah.
Jelasnya, Program Insan Rabbani merupakan salah satu program pemulihan MAIS yang memberi fokus kepada pemulihan akidah kepada bekas ahli GISBH dengan Kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bermula pada 15 Februari sehingga Ogos 2025.
Program dilaksanakan setiap hari Ahad sebanyak 24 siri selama empat jam di Sekolah Rendah Agama (SRA) Country Homes, Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, SRA Sijangkang, Kuala Langat, dan SRA Sungai Kantan, Kajang melibatkan 51 orang guru bertauliah.

Menurut beliau, pengisian program merujuk kepada Modul Istitabah yang telah diluluskan oleh MAIS pada 2013 dengan memberi fokus kepada pengajian ilmu al-Quran, akidah, tasawuf, dan fikah kepada individu dewasa bekas ahli GISBH.
Bagi pengajian al-Quran, peserta belajar mendalami ilmu al-Quran termasuk ilmu tajwid untuk memahami al-Quran dan menambah baik bacaan al-Quran.
Bagi pengajian akidah merangkumi asas ilmu akidah dan pemahaman yang benar tentang sifat-sifat Allah Taala, rasul serta yang berkaitan dengannya, bagi pengajian tasawuf merangkumi penyucian hati dan sifat-sifat mahmudah.
Akhir sekali, pengajian fikah merangkumi tentang solat dan perkara-perkara berkaitan berdasarkan mazhab Imam Syafie.
Manakala, Modul Pendidikan Insani JAIS digunakan untuk kanak-kanak bekas ahli GISB, bertujuan membentuk keperibadian dan mengembangkan potensi kanak-kanak secara menyeluruh dan bersepadu berlandaskan wahyu Allah dan sunnah Rasulullah S.A.W dengan pengisian akidah, ibadah, dan akhlak.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan fakta sebenar sebelum mengeluarkan kenyataan atau tohmahan terhadap MAIS bagi mengelakkan sebarang kekeliruan kepada umat Islam. – MalaysiaGazette

