Suami isteri antara 8 individu berdepan hukuman mati, edar 247.7 kg ganja

BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki tempatan dan isterinya warga Thailand antara lapan individu berdepan hukuman mati selepas didakwa atas pertuduhan mengedar 247.7 kilogram (kg) dadah jenis ganja pada awal bulan ini.

Tertuduh ialah Muhammad Nur Nor Hisham, 30; Mohamad Hafiz Mohd Zaini, 24; Mohamad Amirul Fazrin Md Kamil, 31; Mohamad Faris Irzain Bidin, 20; Syazriel Aiman Shah Ceronnizam, 20, dan Muhammad Faris ‘Arimi Suzi, 26.

Dua lagi tertuduh iaitu lelaki warga United Kingdom Naveed Hussain, 37, dan wanita warga Thailand, Miss Nursamira Hayeemaha, 37.

Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit namun tiada pengakuan direkodkan.

Ia berikutan kes berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, mereka secara bersama didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis seberat 247,700 gram.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Lorong Camelia 5 di sini pukul 12.30 tengah malam pada 5 November lalu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suhada Rosli manakala hanya empat tertuduh iaitu Mohamad Faris Irzain, Syazriel Aiman, Muhamad Faris dan Miss Nursamira diwakili peguam, Ramkarpal Singh.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sementara kes akan disebut semula 19 Disember depan bagi serahan laporan kimia.

Media pada Isnin lalu melaporkan, polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas memberkas lapan individu dan merampas bunga ganja bernilai RM8.7 juta menerusi serbuan ke atas sebuah inap desa di sini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, enam suspek ditahan dalam serbuan pertama di sebuah inap desa di Perda dekat sini, yang dijadikan tempat penyimpanan dan pembungkusan semula dadah terbabit.

Jelasnya, serbuan susulan membawa kepada penangkapan seorang lelaki tempatan berusia 30-an dan isterinya warga Thailand yang disyaki dalang utama sindiket berkenaan. – MalaysiaGazette