KUALA LUMPUR – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan ramalan awal banjir bagi negeri Kelantan susulan jangkaan hujan berterusan yang berpotensi menyebabkan limpahan sungai di beberapa jajahan bermula hari ini hingga 21 November.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, JPS memaklumkan bahawa sembilan jajahan dikenal pasti berisiko terjejas, melibatkan kawasan lembangan sungai utama di negeri tersebut.
Antara jajahan terbabit ialah Tumpat yang melibatkan Lembangan Sungai Golok, Lembangan Sungai Kelantan dan Lembangan Sungai Pengkalan Nangka; Pasir Mas (Lembangan Sungai Golok dan Lembangan Sungai Kelantan); serta Kota Bharu yang meliputi Lembangan Sungai Kelantan, Pengkalan Datu, Kemasin dan Pengkalan Chepa.
Bagi Pasir Puteh, kawasan berisiko melibatkan Lembangan Sungai Kelantan dan Sungai Semerak manakala Bachok meliputi Lembangan Sungai Kemasin dan Semerak. Tanah Merah pula dijangka berdepan risiko di Lembangan Sungai Golok dan Kelantan.
Di jajahan Machang dan Kuala Krai, risiko banjir melibatkan Lembangan Sungai Kelantan, sementara Jeli membabitkan Lembangan Sungai Golok dan Kelantan.
Menurut JPS, pemantauan secara berterusan sedang dilakukan dan sebarang amaran banjir akan dikemas kini dari semasa ke semasa sekiranya hujan signifikan berterusan di kawasan terlibat.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap hebahan rasmi dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” jelas kenyataan itu.
Sumber Dari : Malaysia Gazette

