Ramadhan wira Kuching FC

KUALA LUMPUR: Jaringan tunggal Ramadhan Saifullah Usman membantu Kuching City FC (KCFC) menewaskan DPMM FC 1-0 di Stadium Negeri sekali gus melonjak ke tangga kedua Liga Super.

Tiga mata di tempat sendiri itu membolehkan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak memintas KL City FC menerusi perbezaan jaringan selepas kedua-dua pasukan terikat dengan 20 mata.

DPMM FC boleh dianggap tidak bernasib baik apabila dua jaringan mereka dibatalkan VAR pada malam ini sekali gus melakar kekalahan keenam selepas mengharungi sembilan aksi Liga Super.

Tuan rumah bermula garang dan melancarkan percubaan seawal minit kedua menerusi Yuki Tanigawa yang tepat ke dakapan penjaga gol DPMM FC, Michel Americo Dos Santos.

Pelawat membuka jaringan pada minit kesembilan hasil penyudah Miguel Oliveira namun mereka tidak bernasib baik selepas jaringan dibatalkan Video Bantuan Pengadil (VAR) susulan pemain itu berada dalam keadaan ofsaid.

Dos Santos cemerlang memastikan gawangnya tidak dibolosi pada minit ke-14 apabila menepis percubaan Ronald Ngah Wanja yang menyambut hantaran Ramadhan daripada sebelah sayap kiri KCFC.

Dos Santos sekali lagi diuji pada minit ke-26, kali ini menerusi voli Jimmy Raymond disusuli rembatan Joao Pedro pada minit ke-32 namun tidak cukup untuk menggugat gawang kawalan penjaga gol DPMM FC itu.

Bersambung babak kedua, Michel berterusan menyelamatkan gawang DPMM FC apabila menangkap kemas percubaan Joao Pedro pada minit ke-48 dan percubaan Petrus Shitembi seminit berselang.

Usaha keras KCFC memburu gol terbalas apabila Michel akhirnya ditewaskan pada minit ke-68 hasil rembatan deras Ramadhan untuk gol keenamnya dalam Liga Super setakat ini.

Prosper Boakye Owus mengikat kedudukan buat DPMM FC pada minit akhir perlawanan namun jaringan itu dibatalkan pengadil, Syed Fazeel Shah Syed Anwar Shah selepas meneliti VAR.

Selepas ini, KCFC akan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi aksi separuh akhir kedua Piala FA sementara DPMM FC akan berdepan Imigresen FC di laman sendiri.