MELAKA – Tiga penjenayah paling dikehendaki mati ditembak selepas menyerang anggota polis sehingga mengakibatkan tangannya hampir putus dalam operasi di ladang kelapa sawit, Durian Tinggal, Alor Gajah di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kumpulan lelaki warga tempatan digelar ‘Geng DT’ itu berumur 24 dan 29 tahun selain seorang lagi identiti yang masih belum dikenal pasti dalam serbuan Op Casa kira-kira jam 4.30 pagi itu.
Menurutnya, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Melaka bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah.

Beliau berkata, ketika serbuan, ketiga-tiga suspek bertindak agresif dan menyerang anggota polis menggunakan parang menyebabkan seorang anggota berpangkat koperal berusia 30-an cedera parah di tangan kiri.
“Ketika anggota kami cuba menahan mereka, kesemua suspek bertindak menyerang dan mencederakan seorang anggota menggunakan parang sehingga hampir putus tangan kiri dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Bagi mempertahankan diri, pasukan operasi terpaksa melepaskan tembakan dan ketiga-tiga suspek meninggal dunia di lokasi kejadian,” dalam pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Ahmad Jefferi Abdullah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Leow Kian Heong.
Dzulkhairi berkata, siasatan awal mendapati kumpulan itu dipercayai terlibat dalam 20 kes samun di sekitar Melaka, selain satu kes di Negeri Sembilan dan satu di Selangor sejak tahun 2024, dengan kerugian keseluruhan dianggarkan RM1.3 juta.
“Suspek berusia 29 tahun mempunyai 39 rekod jenayah lampau manakala rakannya berusia 24 tahun juga ada 12 kesalahan sebelum ini termasuk samun, curi kenderaan, pecah rumah dan dadah.
“Identiti suspek ketiga bagaimanapun belum dikenal pasti selain polis turut merampas tiga bilah parang, satu pemotong dawai, tiga topeng muka dan tiga pasang sarung tangan yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah,” katanya.

Kecederaan dialami anggota polis akibat ditetak dengan parang.
Tambahnya, kumpulan yang paling dikehendaki polis itu mempunyai modus operandi bersembunyi di kawasan ladang kelapa sawit sebelum berjalan kaki ke lokasi sasaran melibatkan kilang, rumah persendirian dan premis perniagaan.
“Dengan tertumpasnya tiga ahli kumpulan ini, kita berjaya menyelesaikan satu sindiket samun yang paling dikehendaki di negeri ini,” katanya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dengan niat cubaan melakukan bunuh,” katanya.- MalaysiaGazette

