MARSEILLE, Perancis: Pengendali Marseille, Roberto De Zerbi menegaskan Mason Greenwood sudah “membayar harga yang mahal” selepas berdepan dakwaan serangan seksual, ketika penyerang itu bersedia bertemu kelab England buat kali pertama sejak kontroversi itu minggu ini.
Marseille akan menanti kunjungan Newcastle bagi aksi Liga Juara-Juara awal pagi esok, dengan Greenwood dijangka berada dalam kesebelasan utama.
Greenwood digantung Manchester United pada Januari 2022 susulan dakwaan cubaan merogol dan serangan seksual, namun pendakwa raya menggugurkan pertuduhan pada Februari 2023.
Penyerang itu kemudian mencetuskan perdebatan apabila menandatangani kontrak bersama Marseille pada Julai 2024 selepas setahun dipinjamkan ke Getafe.
“Saya tidak campur dalam hal peribadi. Apa yang saya tahu, Mason seorang budak baik,” kata De Zerbi.
“Dia sudah membayar harga yang sangat mahal atas apa yang berlaku dan dia temui suasana yang sesuai untuknya di sini…
“Saya kesal dengan apa yang berlaku dalam hidupnya kerana saya mengenali seseorang yang berbeza daripada gambaran yang dimainkan, terutama di England.”
Greenwood kini meledak 33 gol bersama Marseille, termasuk 11 gol musim ini.
“Mason semakin meningkat,” kata De Zerbi.
“Kami boleh sokong dia, tetapi akhirnya terpulang kepada dirinya untuk mahu berusaha.
“Jangan terlalu cerita, jangan terlalu tulis, tetapi saya benar-benar percaya dia sedang menjadi pemain yang lengkap.”
Greenwood, yang meraih satu penampilan bersama England pada usia 19 tahun, beraksi sepasukan dengan Angel Gomes dan CJ Egan-Riley di selatan Perancis.
Pengurus England, Thomas Tuchel pada September lalu menegaskan Greenwood tidak berada dalam perancangannya.
Marseille hanya mengumpul tiga mata selepas empat aksi Liga Juara-Juara, dengan Greenwood hanya sekali menyumbat gol dan kini mereka di luar kelompok kelayakan ke pusingan kalah mati.
Newcastle pula di tangga keenam selepas bangkit dengan tiga kemenangan berturut-turut susulan kekalahan aksi pembukaan kepada Barcelona. – AFP

