AS, Ukraine capai persetujuan mengenai ‘perkara paling penting’ dalam pelan damai – Kyiv

GENEVA: Washington dan Kyiv mencapai persetujuan mengenai perkara paling penting dalam pelan yang dikemukakan Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan perang di Ukraine, menurut seorang pegawai kanan Ukraine.

Bekas Menteri Pertahanan yang kini mengetuai Majlis Keselamatan dan Pertahanan Nasional Ukraine serta anggota pasukan rundingan negara itu, Rustem Umerov, berkata delegasi mereka mencapai persefahaman bersama mengenai terma utama perjanjian yang dibincangkan di Geneva, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Kami kini berharap kepada sokongan rakan Eropah dalam langkah seterusnya.

“Kami juga berharap dapat mengatur lawatan Presiden Ukraine (Volodymyr Zelensky) ke AS pada tarikh paling sesuai bagi menyempurnakan langkah akhir dan mencapai perjanjian dengan Presiden (Donald) Trump,” tulisnya di Facebook.

Menurut laporan media AS, pegawai kanan kerajaan AS ketika ini berada di Abu Dhabi bagi membincangkan pelan berkenaan dengan delegasi Russia.

Setiausaha Tentera AS, Daniel Driscoll dilaporkan mengadakan perbincangan dengan wakil kerajaan Russia sejak Isnin lalu, menurut laporan CBS, CNN dan akhbar Wall Street Journal.

Minggu lalu, AS membentangkan pelan 28 perkara untuk menamatkan perang di Ukraine, yang bermula dengan pencerobohan tentera Russia pada 24 Februari 2022.

Pelan itu pada peringkat awal dilihat mengandungi kebanyakan syarat Kremlin untuk menghentikan perang, namun ia dirunding semula secara intensif oleh diplomat Eropah dan Ukraine.

Presiden Russia, Vladimir Putin sebelum ini menggambarkan versi asal pelan 28 perkara itu sebagai “asas bagi penyelesaian damai muktamad”, tetapi memberi amaran agar tidak melakukan pelonggaran besar dalam perjanjian yang memihak kepada Kyiv. – AGENSI