Ribut Tropika Senyar semakin lemah namun berpotensi cetus cuaca buruk

KUALA LUMPUR – Ribut Tropika Senyar dilaporkan telah melemah dan diturunkan taraf kepada sistem cuaca tekanan rendah, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Ketua Pengarahnya, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, ribut berkenaan kini berada di tengah Semenanjung Malaysia dan diramal akan terus bergerak ke arah timur menuju ke perairan Laut China Selatan.

“Berdasarkan pencerapan radar cuaca MET Malaysia, Senyar telah mendarat sekitar tengah malam tadi di kawasan pantai antara sempadan negeri Selangor dan Negeri Sembilan.

“Walaupun sistem cuaca tersebut semakin melemah, aktiviti pembentukan awan hujan masih kekal aktif,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Menurut beliau, antara negeri yang dijangka menerima impak ribut itu ialah Perak, Selangor dan sebahagian kawasan di Pahang, selain situasi cuaca yang perlu diberi perhatian di Pantai Timur.

Tambah Dr. Mohd Hisham, ribut tropika itu mula memberi kesan di Indonesia sekitar jam 3.30 petang semalam sebelum memasuki Semenanjung Malaysia dan seterusnya bergerak ke arah Laut China Selatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, terutamanya melibatkan negeri Pahang dan Terengganu.

“Corak cuaca ini dijangka berterusan sehingga 29 November 2025. MetMalaysia akan terus memantau keadaan ini dan akan mengemaskini maklumat dan amaran cuaca sekiranya terdapat perubahan signifikan,” jelasnya.

Sebagai perbandingan, Ribut Tropika Vamei yang terbentuk di Laut China Selatan pada 26 Disember 2001 pernah mencatatkan kelajuan angin sehingga 120 kilometer sejam, mengakibatkan banjir serta tanah runtuh di Pantai Timur Semenanjung dan meragut lima nyawa selain menyebabkan kerosakan besar.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan peka terhadap maklumat terkini.

“Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia dengan sentiasa peka kepada maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia,” katanya. – MalaysiaGazette