LONDON: Joshua Zirkzee menamatkan kemarau jaringan hampir setahun sebelum Mason Mount muncul wira lewat permainan ketika Manchester United bangkit menewaskan Crystal Palace 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi.
Skuad bimbingan Ruben Amorim ketinggalan hasil penalti Jean-Philippe Mateta pada babak pertama di Selhurst Park, namun jaringan Zirkzee dan Mount selepas rehat memastikan kemenangan pertama United dalam empat perlawanan.
United bangkit selepas persembahan longlai di awal permainan, disusuli gol sulung Zirkzee dalam EPL sejak menewaskan Everton pada Disember 2024.
Penyerang Belanda itu sebelum ini mengharungi 24 aksi liga tanpa jaringan, sekali gus menguatkan persepsi pembelian bernilai £36 juta (RM197 juta) dari Bologna pada 2024 itu sebagai pelaburan kurang menjadi.
Zirkzee, 24, juga gagal menjaringkan gol dalam lapan penampilan terakhir sejak April lalu.
Mount yang bergelut dengan kecederaan turut berdepan musim sukar bersama United dan jaringan itu hanya gol keduanya musim ini.
Selepas dimalukan Everton yang beraksi 10 pemain di Old Trafford Isnin lalu, kemenangan pertama sejak Oktober lalu memberi suntikan moral buat Amorim.
Malah, ia menamatkan rekod tanpa kalah Palace di Selhurst Park dalam EPL sejak 15 Februari, menggambarkan betapa sukar kebangkitan United dalam kesejukan di London selatan.
United terus diasak dan Palace akhirnya mendahului pada minit ke-36.
Yoro menghadiahkan penalti susulan terjahan terhadap Mateta, yang menyempurnakan sepakan itu tetapi dibatalkan kerana melakukan dua sentuhan.
Berdasarkan peraturan baharu musim ini, sepakan penalti dua sentuhan tidak sengaja perlu diambil semula jika percubaan pertama berjaya.
Diberi peluang kedua, Mateta sekali lagi tenang menewaskan penjaga gol Senne Lammens.
Hampir tidak menyerlah pada babak pertama, Zirkzee menjadi penyelamat Amorim apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-54.
Menyambut sepakan percuma Bruno Fernandes, Zirkzee mengawal bola dengan dada sebelum merembat kencang menewaskan Dean Henderson dari sudut hampir mustahil.
Zirkzee hampir menjaringkan gol sendiri beberapa minit kemudian apabila bola terkena dirinya menuju gawang Lammens namun berjaya diselamatkan pemain pertahanan.
Momentum semakin memihak kepada United dan Mount akhirnya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-63.
Fernandes menolak bola sepakan percuma kepada Mount yang melepaskan rembatan leret deras daripada jarak 20 meter menembusi bawah benteng Palace dan menewaskan Henderson. – AFP

