Ibu tunggal, kekasih disyaki berkhalwat ditahan JAIM

MELAKA – Seorang wanita berstatus ibu tunggal dan kekasihnya ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas dipercayai berkhalwat di dalam sebuah rumah di sini malam semalam.

Kejadian itu dikongsi Bahagian Penguat Kuasa JAIM menerusi video berdurasi 59 saat di media sosial TikTok rasminya hari ini.

“Ketika serbuan dilakukan sepasukan pegawai penguat kuasa agama (PPA) JAIM mendapati wanita bersatus ibu tunggal itu berdua-duaan dengan kekasihnya di tingkat atas rumah.

“Hasil soal siasat mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen atau bukti mempunyai hubungan suami isteri atau mahram sah,” katanya.

Tambahnya, serbuan dibuat berdasarkan aduan awam terhadap pasangan itu yang disyaki berkurung atau bersunyian yang mendatangkan syak.

“Kedua-dua mereka dibawa ke Pejabat JAIM untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991,” katanya. – MalaysiaGazette