KUALA LUMPUR: Selangor FC mengesahkan tonggak pertahanan berpengalaman, Safuwan Baharudin akan kembali memperkuatkan Gergasi Merah pada 5 Januari depan.
Kelab itu memaklumkan pemain kebangsaan Singapura berusia 34 tahun itu akan kembali bersama Selangor FC selepas tempoh pinjaman selama enam bulan bersama Lion City Sailors tamat.
“Beliau akan menyertai Gergasi Merah semula bagi baki saingan musim 2025/26 dan kepulangannya dijangka dapat mengukuhkan lagi benteng pertahanan kami sepanjang baki musim ini,” kata Selangor FC.
Safuwan menyertai Selangor pada 2019 hingga 2022 sebelum dia menyarung jersi Negeri Sembilan pada 2023 dan selepas itu kembali semula bersama Gergasi Merah.
Dia yang pernah beraksi bersama PDRM dan Pahang dipinjamkan Selangor ke Lion City Sailors awal musim ini.
Kehadiran semula Safuwan dilihat mampu memperkemaskan benteng Selangor yang ketika ini sudah melepaskan 11 gol dalam 10 aksi Liga Super dan bolos 14 gol bagi lima perlawanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
Gergasi Merah kini berada di kedudukan keempat Liga Super dengan mengumpul 19 mata selepas membelasah Penang 5-1 di Stadium Bandaraya, malam tadi.
Skuad kendalian Christophe Gamel itu seterusnya akan menentang Lion City Sailors di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi aksi terakhir Kumpulan G saingan ACL2, Rabu ini.

