AKPS rampas sayur, makanan laut tidak patuh syarat import

ALOR SETAR: Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS) merampas pelbagai jenis sayur dan makanan laut selepas pemeriksaan dilakukan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata antara yang dirampas adalah sayur-sayuran yang tidak mempunyai perakuan pengedaran, pembungkusan dan pelabelan serta tidak diisytihar.

“Kita turut merampas udang putih melebihi isytihar, udang galah tidak diisytihar, isi ikan dan isi tiram,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggar RM62,804 dan kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) dan Seksyen 11 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).\

Beliau berkata, kes diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan lanjut. – BERNAMA