Bunuh anak bekas kekasih, bekas ratu cantik dihukum penjara seumur hidup

GEORGIA (Amerika Syarikat): Bekas ratu cantik Georgia, Trinity Madison Poague menangis teresak-esak selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadapnya kerana membunuh anak bekas kekasih.

Poague, 20, didakwa atas tuduhan jenayah bunuh, serangan fizikal dan penderaan kanak-kanak di Mahkamah Tinggi Daerah Sumter, Georgia, menurut laporan NY Post, kelmarin.

Hakim memutuskan demikian selepas juri mengembalikan keputusan bersalah terhadap wanita itu kerana kematian Romeo ‘Jaxton Dru’ Angeles yang berusia 18 bulan pada Januari 2024.

Poague adalah penuntut tahun dua Universiti Georgia Southwestern State ketika melakukan jenayah itu di bilik asrama teman lelakinya, Julian Williams.

Mahkamah diberitahu yang wanita itu membunuh bayi malang terbabit disebabkan tidak puas hati kerana mahu mempunyai anak sendiri bersama Williams.

Selepas melakukan perbuatan berkenaan, wanita itu didakwa menghantar mesej kepada Williams yang ketika itu keluar membeli makanan, bahawa anaknya tidak bernafas.

Williams bergegas pulang dan mendapati bayi itu tidak memberi gerak balas lalu terus membawanya ke bilik kecemasan kampus, sebelum dipindahkan ke hospital kanak-kanak di Atlanta, tetapi disahkan meninggal dunia.

Poague didakwa seminggu selepas kematian bayi itu dan menjalani perbicaraan panjang.

Pendakwa raya berhujah bahawa Poague pernah mencari maklumat mengenai pendarahan otak dan keretakan tengkorak yang tidak dikesan ketika bayi itu masih dirawat di hospital.

Laporan perubatan mendedahkan kematian bayi akibat trauma tumpul pada kepala dan tubuh sehingga mengakibatkan otaknya gagal berfungsi.

Sementara itu, doktor bilik kecemasan, Dr Michael Busman berkata, keterangan Poague tidak konsisten dengan kecederaan bayi dan bengkak pada kepalanya serta cecair dari hidung yang menunjukkan ia berpunca daripada ‘pukulan langsung’.

Poague sebelum ini memenangi gelaran Miss Donalsonville 2023 dan menyertai pertandingan ratu cantik National Peanut Festival, sebelum gelaran itu ditarik balik susulan kes jenayah berkenaan.