KUALA LUMPUR: Malaysia perlu meningkatkan penyertaan wanita di Parlimen berikutan ketinggalan di belakang beberapa negara Asia Barat seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), selain negara Afrika seperti Rwanda.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata ketika ini pembabitan wanita di Parlimen Malaysia di bawah sasaran 30 peratus.
Katanya, jumlah itu jauh ketinggalan berbanding negara lain seperti UAE yang melebihi 30 peratus, Rwanda mencapai 50 peratus dan Arab Saudi dengan 30 peratus dalam Majlis Syura.
“Hari ini, peratusan Ahli Parlimen wanita di Malaysia hanyalah sekitar 13 peratus.
“Dalam era media sosial, sebaik sahaja seseorang wanita menyatakan hasrat untuk bertanding, fitnah akan bermula, diikuti serangan peribadi, tuduhan tidak berasas dan tekanan sosial.
“Akibatnya, ramai wanita dan golongan profesional memilih menjauhkan diri daripada politik. Mereka mempunyai kerjaya yang stabil, keluarga yang terpelihara dan tidak sanggup menanggung beban fitnah serta ketidakpastian politik.
“Inilah sebabnya kita terus terperangkap pada angka 13 peratus,” katanya ketika berucap pada Jerayawara Parlimen Belia Malaysia (PBMy) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Pembabitan Komuniti) UIAM, Colonel (H) Prof Datuk Dr Mohamad Fauzan Noordin dan Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Datuk Dr Ahmad Hussaini Abdul Rahman.
Johari, berkata sistem pilihan raya sedia ada menyukarkan wanita profesional untuk bertanding dan menang dalam politik.
Katanya, Sistem Perwakilan Berkadar (PR) adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan.
“Sistem itu lebih adil, lebih inklusif dan lebih bermakna untuk masa depan demokrasi negara.
“Antara kesan besar sistem sedia ada ialah kegagalan melahirkan wakil rakyat terbaik. Sebaliknya, PR memberi ruang kepada parti untuk menampilkan calon yang benar-benar berwibawa,” katanya.

