Kes tembak Durian Tunggal diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh

KUALA LUMPUR – Siasatan kes tiga lelaki ditembak mati di Durian Tunggal, Melaka bulan lalu diklasifikasikan semula di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bunuh.

Perkembangan terkini itu dimaklumkan Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut jabatan itu, pihaknya telah dirujuk dengan laporan kes tersebut oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berdasarkan taklimat dan cadangan yang dikemukakan PDRM, Jabatan Peguam Negara bersetuju dan mengarahkan siasatan diklasifikasikan semula di bawah seksyen tersebut.

“Penelitian awal jabatan ini mendapata beberapa tindakan lanjut masih perlu diambil oleh PDRM bagi melengkapkan siasatan sebelum apa-apa jua keputusan muktamad dibuat,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga seorang suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis dalam insiden berkenaan.

Dalam operasi awal pagi 24 November itu, ketiga-tiga suspek berusia 24 hingga 29 tahun yang aktif melakukan jenayah membabitkan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor melibatkan kerugian RM1.3 juta ditembak mati.

Ia selepas salah seorang ahli kumpulan dikenali Geng Durian Tunggal itu menyerang seorang anggota polis dengan parang sehingga menyebabkan tangan kirinya hampir putus.

Suspek berusia 29 tahun mempunyai 39 rekod jenayah lampau manakala rakannya berusia 24 tahun juga ada 12 kesalahan sebelum ini termasuk samun, curi kenderaan, pecah rumah dan dadah. – MalaysiaGazette