Eksperimen Algeria di AFCON makan diri

RABAT: Percubaan Algeria menyelesaikan krisis penjaga gol dengan memilih nama besar ternyata gagal di Piala Negara-Negara Afrika apabila mereka tewas 2-0 kepada Nigeria dalam perlawanan suku akhir di Marrakesh kelmarin.

Luca Zidane, anak kepada juara dunia Zinedine Zidane, dipanggil dari liga divisyen dua Sepanyol untuk membantu Algeria yang kekurangan pilihan di posisi penjaga gol, tetapi percubaannya nyata tidak berhasil.

Zidane melakukan lompatan pelik ketika cuba menyelamatkan tandukan Victor Osimhen, memberikan Nigeria jaringan di awal babak kedua, dan kawalan bola yang lemah membolehkan lawan merampas bola serta menjaringkan gol kedua 10 minit kemudian.

Pemilihan Zidane menjadi tumpuan kerana dia layak mewakili Algeria, negara asal ibu bapa bapanya, walaupun pengalamannya di peringkat kelab terhad.

Zidane hanya membuat dua penampilan untuk Real Madrid ketika bapanya menjadi pengurus, dan enam daripada tujuh musim terakhirnya dihabiskan di liga kedua Sepanyol.

Pilihan utama Algeria sepanjang lima tahun lalu ialah Anthony Mandrea, yang bermain di Ligue 1 bersama Angers. Namun, selepas kelabnya Caen turun ke divisyen tiga Perancis musim lalu, pengendali Algeria Vladimir Petkovic menegaskan beliau tidak akan mempertimbangkan pemain dari liga serendah itu.

Zidane, 27, yang sebelum ini pernah mewakili Perancis di peringkat remaja, menukar kelayakan antarabangsa pada September untuk menjadi sokongan kepada Alexis Guendouz, penjaga gol nombor satu Algeria yang kemudiannya cedera menjelang kejohanan.

Zidane mengekalkan gawang tanpa dibolosi dalam dua daripada tiga perlawanan peringkat kumpulan dan juga mengekalkan rekod bersih dalam kemenangan 1-0 ke atas Republik Demokratik Congo di pusingan 16, tetapi gagal mengatasi Nigeria.

Dia nyaris dimalukan di babak pertama apabila keluar dari garisan untuk mengawal tendangan bebas tetapi tersilap menghitung arah bola.

Ibu bapa Zidane hadir di Maghribi untuk menyaksikan anak mereka beraksi. Namun prestasinya menimbulkan persoalan tentang siapa yang akan menjadi pilihan Algeria menjelang Piala Dunia di Amerika Utara.

Algeria diundi dalam Kumpulan J bersama Argentina, Jordan dan Austria.