HAMILTON: Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam keras tindakan Israel di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki selepas apa yang disifatkan beliau sebagai ‘pencerobohan tidak sah’ terhadap kemudahan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) serta langkah menutup sebuah pusat kesihatan utama.
Dalam satu kenyataan, Jurucakap PBB, Farhan Haq, berkata Setiausaha Agung badan dunia itu, Antonio Guterres mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan tidak sah pihak berkuasa Israel pada 12 Januari lalu, ke atas sebuah premis milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki, iaitu Pusat Kesihatan UNRWA di Baitulmuqaddis, serta arahan penutupan sementara kemudahan itu.
Menurut Haq, Guterres juga amat bimbang selepas UNRWA dimaklumkan bahawa pembekal utiliti akan menghentikan bekalan elektrik dan air kepada beberapa fasiliti agensi tersebut di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Mengingatkan Israel mengenai kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa, Haq seterusnya menyatakan Guterres amat kesal bahawa pihak berkuasa Israel terus mengambil tindakan yang bercanggah dengan tanggungjawabnya, termasuk di bawah Konvensyen mengenai Keistimewaan dan Kekebalan PBB.
Merujuk rampasan kompleks Sheikh Jarrah milik UNRWA oleh Israel, kenyataan itu menyebut: “Pada 8 Januari 2026, Setiausaha Agung menyuarakan kebimbangan mendalam beliau kepada Perdana Menteri Israel dan membawa perkara itu kepada perhatian Presiden Perhimpunan Agung PBB serta Presiden Majlis Keselamatan PBB.”
“Setiausaha Agung amat kesal bahawa pihak berkuasa Israel terus mengambil tindakan yang bercanggah dengan tanggungjawabnya di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen mengenai Keistimewaan dan Kekebalan PBB,” menurut kenyataan itu lagi.
Haq menyatakan bahawa tindakan Israel adalah pelanggaran terhadap prinsip ketakbolehcabulan premis PBB, sekali gus menjadi halangan kepada pelaksanaan mandat jelas Perhimpunan Agung bagi operasi berterusan UNRWA di Wilayah Palestin Diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur.
“Setiausaha Agung menggesa kerajaan Israel segera mengambil langkah untuk memulangkan dan memulihkan kompleks Sheikh Jarrah milik UNRWA serta Pusat Kesihatan UNRWA di Baitulmuqaddis Timur, dan memastikan bekalan utiliti penting ke premis UNRWA dikekalkan,” menurut kenyataan itu.
Berikutan undang-undang yang diluluskan oleh Knesset pada 31 Dis 2025, pihak berkuasa Palestin melaporkan bahawa kerajaan Israel pada Selasa mula mengarahkan pemotongan bekalan elektrik dan air ke bangunan-bangunan yang dikendalikan UNRWA di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.
Pada 2024, Knesset meluluskan undang-undang melarang aktiviti agensi PBB itu di Israel, memetik dakwaan bahawa beberapa kakitangan UNRWA terlibat dalam kejadian 7 Okt 2023, dakwaan yang dinafikan agensi berkenaan PBB sebelum ini menegaskan bahawa UNRWA mematuhi piawaian berkecuali yang ketat. – BERNAMA-ANADOLU

