Trump ugut kenakan tarif baharu terhadap negara tidak sokong rancangannya kuasai Greenland

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran akan mengenakan tarif perdagangan terhadap negara yang enggan menyokong rancangannya untuk mengambil alih Greenland.

“Saya mungkin akan mengenakan tarif terhadap mana-mana negara jika mereka tidak menyokong isu Greenland, kerana kita amat memerlukan wilayah itu demi keselamatan negara,” kata Trump dalam satu perbincangan meja bulat di Rumah Putih, semalam.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan negara mana yang bakal terkesan atau kuasa undang‑undang apa yang akan digunakan untuk melaksanakan tarif berkenaan.

Trump turut memberi contoh tindakan mengenakan tarif seperti yang pernah beliau lakukan ke atas Perancis dan Jerman tahun lalu, berhubung isu harga produk farmaseutikal.

Ugutan itu dilihat sebagai taktik tekanan terancang oleh pemimpin Republikan berkenaan dalam usahanya memperoleh Greenland yang juga wilayah separa autonomi di bawah Denmark, termasuk melalui cara ketenteraan jika perlu.

Trump mendakwa AS amat memerlukan Greenland yang kaya dengan sumber mineral, selain menuduh Denmark gagal memastikan keselamatan wilayah itu daripada ancaman pesaing AS, iaitu Russia dan China.

Dalam pada itu, Trump turut mempersoalkan peranan utama AS dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berhubung isu terbabit, sambil memaklumkan Washington kini sedang “berbincang” dengan perikatan ketenteraan itu.

“Kita akan lihat nanti. NATO sedang berurusan dengan kami mengenai Greenland,” katanya kepada pemberita ketika ditanya sama ada beliau akan menarik keluar AS daripada NATO jika perikatan itu tidak membantu proses pengambilalihan berkenaan.

Lokasi Greenland di antara Amerika Utara dan Artik menjadikannya strategik sebagai sistem amaran awal serangan peluru berpandu dan pemantauan laluan maritim.

AS kini mempunyai lebih 100 anggota tentera yang ditempatkan secara tetap di pangkalan Pituffik, yang telah dikendalikan Washington sejak Perang Dunia Kedua.

Ugutan Trump itu menyusul selepas beberapa negara Eropah dalam NATO menyatakan sokongan padu kepada Denmark dan Greenland, termasuk menghantar tentera ke wilayah strategik berkenaan sebagai maklum balas terhadap ancaman Trump.

Selain itu, satu delegasi dwipartisan Kongres AS turut memulakan lawatan ke Copenhagen semalam, bagi menyuarakan sokongan mereka kepada Denmark.

Rabu lalu, Menteri Luar Denmark dan Greenland mengadakan pertemuan di Rumah Putih bagi meredakan ketegangan, namun mengakui masih wujud “perselisihan pendapat yang fundamental” dengan Trump.

AS, Denmark, dan Greenland bagaimanapun bersetuju menubuhkan kumpulan kerja bagi meneruskan rundingan setiap dua hingga tiga minggu sekali.

Setakat ini, Britain, Finland, Perancis, Jerman, Belanda, Norway, dan Sweden mengumumkan penghantaran sebilangan kecil kakitangan tentera sebagai persiapan latihan masa hadapan di Artik.

Menteri Luar Denmark, Lars Lokke Rasmussen berkata, walaupun skala penempatan anggota tentera negara Eropah otu tidak didedahkan secara rasmi, ia dipercayai masih kecil buat masa ini.

Angkatan Tentera Jerman menghantar pasukan tinjauan seramai 13 orang, manakala Perancis menghantar 15 pakar pergunungan yang bakal diperkukuh dengan aset darat, udara, dan laut dalam masa terdekat. – AFP